
Ahli perniagaan Malaysia Teow Wooi Huat kini ditahan Pejabat Imigresen Suan Plu di Bangkok, Thailand. - Gambar Bangkok Post
Bukit Aman sedang berusaha untuk mengesahkan dan mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa berkaitan berita mengenai ekstradisi ahli perniagaan Malaysia Teow Wooi Huat ke China hari ini.
“Kami akan mengemas kini kepada media apabila terdapat perkembangan baharu berhubung kes ini,” kata Bukit Aman menjawab soalan wartawan.
Semalam, polis mengesahkan bahawa Teow – yang digelar “Jho Low 2” merujuk kepada seorang lagi ahli perniagaan Malaysia yang sedang diburu Low Taek Jho dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Develoment Berhad (1MDB), – berada di bawah jagaan pihak berkuasa Thailand.
Bukit Aman berkata mereka dalam proses memohon individu terbabit dihantar pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan.
Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, lelaki berusia 55 tahun itu kini dalam tahanan pihak berkuasa Thailand.
“Penama adalah individu yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“PDRM sedang dalam proses permohonan untuk penama dihantar pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan,” katanya.
Media tempatan di Thailand melaporkan Teow akan dihantar ke China hari ini (Selasa, 26 Julai 2022).
Bangkok Post melaporkan Teow mengasaskan MBI Group dan mengendalikan kompleks hiburan termasuk resort di bandar Danok di sempadan Thailand-Malaysia.
Teow membina empayar perniagaan daripada skim pelaburan dalam talian yang memikat pelabur dari China, Thailand, Malaysia, Indonesia dan Macau.
Pada 2017, Teow pada mulanya telah ditahan Biro Kawalan Narkotik (NSB) Thailand atas tuduhan kesalahan dadah, namun dia melarikan diri dari Songkhla dan terlepas daripada hukuman mati.
Pada 2019, pihak berkuasa Malaysia membekukan 91 akaun bank berjumlah RM177 juta yang dikaitkan dengan MBI Group International ketika itu. Bank Negara telah menyenaraikan syarikat itu sebagai syarikat yang menjalankan skim kewangan meragukan.