
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan tindakan akan diambil terhadap pihak yang terlibat menyeleweng dalam kontroversi kapal tempur persisir (LCS) bernilai RM9.1 bilion.
Menteri Pertahanan itu berkata projek tersebut bukan diluluskan semasa mengambil alih pentadbiran kementerian dan beliau hanya memikul tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah yang timbul melibatkan perolehan kapal tersebut.
“Siapa yang salah tetap salah kerana bukan masa saya ketika projek ini diluluskan. Kebetulan saya Menteri Pertahanan hari ini dan saya pikul tanggungjawab untuk menanganinya,” katanya dipetik laporan Bernama.
Hishammuddin juga berkata percaya pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah, sedang dan akan mengambil tindakan berhubung perkara tersebut.
Dalam pada itu, beliau juga menyifatkan kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu projek LCS dihentikan hanya berkisar kepada pertimbangan politik semata-mata.
Malah kata beliau kenyataan itu bercanggah dengan keputusan Pakatan Harapan ketika menjadi kerajaan pusat dulu yang mahukan projek itu diteruskan.
Daripada laporan yang beliau terima, Hishammuddin berkata kenyataan itu telah menimbulkan kemarahan ramai pihak khasnya pihak Tentera Laut Diraja Malaysia yang merupakan pengguna akhir dan lebih 400 vendor yang terlibat dalam projek tersebut.
“Terdapat lebih 400 vendor yang harapkan projek ini berjalan dan 90 peratus adalah vendor yang ada kaitan dengan veteran.
“Kalau dia betul nak bela veteran pembatalan LCS bukan caranya,” katanya lagi.
Semasa sidang media di hari terakhir persidangan Dewan Rakyat semalam, Anwar yang juga Presiden PKR menegaskan beliau yakin dalam isu tersebut ia bukan saja melibatkan ketirisan malah wujud penyelewengan.
Sekiranya projek itu dihentikan, Hishammuddin berkata perlu ada pilihan mahupun perancangan bagi mengisi kekosongan yang ada.
“Kalau betul ada hujah-hujah yang bernas saya tidak teragak-agak untuk memikirkan dan memberikan pertimbangan yang sewajarnya,” katanya semalam.
Awal hari ini, Rafizi mendakwa sekurang-kurangnya RM890 juta duit rakyat hangus daripada projek kapal Kementerian Pertahanan yang gagal disiapkan mengikut tempoh ditetapkan itu dan bakal membuat siri pendedahan melibatkan tiga pemimpin utama UMNO.
Rafizi menamakan tiga pemimpin UMNO dalam skandal kapal RM9 bilion itu, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan juga Menteri Pertahanan sekarang, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.