Buka sempadan isyarat kepada dunia, Malaysia kembali ke gelanggang

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pembukaan semula sempadan semalam (1 April) adalah isyarat bahawa Malaysia sudah kembali terbuka kepada semua urusan, termasuk sektor ekonomi dan sosial.

Bekas Perdana Menteri itu berkata langkah berkenaan juga selari dengan syor MPN supaya sempadan negara dibuka tanpa keperluan menjalani kuarantin sebagaimana syarat sebelum ini bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“MPN berpendapat pembukaan sempadan amat penting dalam usaha pemulihan ekonomi negara, bukan sahaja bagi sektor perdagangan malah sektor pelancongan negara juga akan menikmati manfaat perjalanan masuk warganegara asing ke Malaysia.

“Ini adalah satu langkah ke hadapan yang hebat dan akan memberi isyarat kepada dunia bahawa Malaysia kini terbuka semula untuk segala urusan, khususnya sektor ekonomi,” katanya.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata proses keluar masuk, terutama di pintu sempadan darat antara Johor dan Singapura, juga telah dipermudah dan memberi faedah kepada lebih 300,000 warga Johor yang berulang-alik sebelum pandemik Covid-19 melanda.

Menurutnya ramai yang terjejas akibat penutupan sempadan negara sejak pandemik mula melanda Malaysia pada awal 2020 lalu dan ada juga yang tidak dapat pulang ke tanah air.

“Selamat kembali ke tanah air dan saya berharap anda semua dapat memanfaatkan pembukaan semula sempadan negara ini.

“Kepada rakyat Malaysia yang akan menyambut Ramadan tidak lama lagi, pembukaan ini sudah tentulah amat dinanti-nantikan kerana mereka dapat kembali menjalani ibadah berpuasa bersama ahli keluarga masing-masing,” katanya.

Selain itu beliau mengingatkan rakyat Malaysia terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan walaupun negara telah memasuki fasa pemulihan ke endemik di mana beberapa sekatan mengekang penularan Covid-19 telah dilonggarkan.

Muhyiddin berkata peralihan ke fasa endemik ini dapat dilakukan setelah semua negeri di Malaysia berjaya beralih secara selamat dan teratur ke Fasa 4 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Bermula Julai 2021, kerajaan menetapkan sesebuah negeri boleh beralih ke Fasa 2, 3 dan 4 di bawah PPN berdasarkan nilai ambang yang ditetapkan seperti kadar kemasukan ke hospital bagi kes bergejala, penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) serta peratusan lengkap divaksinasi,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR