Budak bawah 7 tahun tak dibenar sertai solat Tarawih di Pahang

Kerajaan Pahang tidak membenarkan orang luar sama ada dari pondok atau maahad tahfiz untuk menjadi imam solat Tarawih di mana-mana masjid dan surau di negeri itu.

Pada masa sama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri juga tidak membenarkan penceramah jemputan dari luar Pahang.

Beliau berkata, pengimarahan masjid dan surah sepanjang Ramadan ini hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Solat tarawih perlu selesai selewat-lewatnya 10 malam. Tazkirah yang dibenarkan ialah selepas solat Zohor dan sebelum solat Jumaat dengan tempoh maksimum 15 minit.

“Aktiviti tadarus dan khatam al-Quran dibenarkan selepas solat Subuh hingga sebelum Maghrib manakala Qiamullail dibenarkan pada 10 malam terakhir mulai 3 pagi hingga solat Subuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Rosdy berkata, pelajar dari sekolah berasrama dan kanak-kanak bawah tujuh tahun juga tidak dibenar memasuki masjid untuk solat Tarawih.

Jumlah jemaah pula menurut Wan Rosdy, adalah mengikut kapasiti ruang solat dengan penjarakan fizikal yang perlu dikawal oleh pengurusan masjid dan surau, selain aktiviti berkumpul selepas solat tarawih tidak dibenarkan.

Bagi program berbuka puasa dan moreh, Wan Rosdy berkata, pengurusan masjid dan surau perlu menyediakan makanan secara berbungkus dengan jemaah hanya dibenarkan membawa pulang makanan berat selepas berbuka jika ada dan juadah moreh.