Budak 8 tahun kes kedua Omicron di Malaysia, 18 sampel lagi disyaki

Satu daripada 52 sampel ujian PCR Genotyping Assay diambil daripada pengembara yang pulang dari luar negara bagi tempoh 6 hingga 10 Disember lalu, menunjukkan ianya adalah varian baharu Covid-19, Omicron.

Pada masa sama, hasil ujian PCR ke atas 18 kes lagi menunjukkan kemungkinan mereka dijangkiti varian Omicron. Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menunggu pengesahan daripada jujukan genom penuh (WGS) yang dilakukan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam kenyataan hari ini berkata varian Omicron pada pengembara itu disahkan menerusi jujukan genom yang dijalankan IMR Selasa lalu.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes varian Omicron yang dikesan di Malaysia adalah sebanyak dua kes. Kedua-duanya adalah jangkitan import dari luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes yang baharu dikesan itu adalah seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, warganegara Malaysia yang menetap bersama keluarganya di Lagos, Nigeria, dan ujian RT-PCR sebelum berlepas pulang adalah negatif.

“Kes tiba di Malaysia bersama ibu dan adik perempuannya pada 5 Disember 2021 dari Lagos dengan penerbangan transit di Doha, Qatar. Kes dan ahli keluarganya telah menjalani ujian RT-PCR Covid-19 ketika ketibaan di KLIA.

“Mereka telah diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, dan diarah menjalani kuarantin wajib di rumah,” katanya.

Khairy berkata keputusan ujian RT-PCR kes ketika ketibaan didapati positif Covid-19 pada 7 Disember, dan kanak-kanak itu tidak mempunyai gejala dan diarah menjalani kuarantin di rumah.

“Kontak rapat kepada kes terdiri daripada ibu, adik perempuan, bapa dan pemandu teksi yang membawa mereka ke kediaman. Ujian RT-PCR Covid-19 terhadap pemandu teksi sedang dijalankan,” katanya

Beliau berkata terdapat 35 kontak dalam penerbangan itu iaitu empat baris tempat duduk di hadapan, belakang, kiri serta kanan dan ujian RT-PCR semasa ketibaan dan pada hari ke lima bagi semua kontak adalah negatif.

“KKM juga ingin memaklumkan bahawa hasil ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan, sebanyak 18 kes lagi menunjukkan kemungkinan varian Omicron dan kini sedang menunggu keputusan pengesahan daripada jujukan WGS. Keputusan dijangka akan diperoleh 17 Disember 2021 (esok),” katanya.

Katanya sejak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Omicron sebagai varian yang membimbangkan (VOC), IMR mula menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas semua sampel positif Covid-19 yang disaring di pintu masuk antarabangsa di KLIA.

Menurutnya ujian PCR itu dilakukan bagi mendapatkan keputusan awal jenis varian Covid-19, dan mana-mana sampel yang menunjukkan kemungkinan varian Omicron perlu dilakukan WGS untuk pengesahan varian berkenaan.

BERITA BERKAIT
POPULAR