Bot pelancong bawa penumpang lebih berlanggar di Kuala Besut

Siasatan awal insiden pelanggaran dua bot di muara Sungai Besut di Jeti Pelancongan Kuala Besut petang semalam mendapati, lesen bot pelancong itu tamat tempoh 10 Jun lalu, selain nakhodanya berbeza daripada yang didaftarkan.

Ketua Unit Komunikasi Korporat Ibu Pejabat Laut, Jabatan Laut Malaysia (JLM) Muhammad Shuhaimi Abd Rahman berkata pemilik bot itu juga menanggalkan nombor pendaftaran selepas kejadian, lapor Bernama.

Beliau berkata siasatan awal juga mendapati nakhoda bot yang didaftarkan di dalam lesen, adalah berbeza dengan nakhoda semasa kejadian dan lesen bot tersebut dilaporkan telah tamat tempoh pada 10 Jun lalu.

“Pemilik bot juga telah mengalihkan bot yang terbabit kemalangan dan menanggalkan nombor pendaftaran, bagi mengelirukan pihak Pejabat Laut Kuala Besut,” katanya.

Menurutnya penumpang juga dilaporkan menaiki bot di jeti pendaratan persendirian yang tidak sah, dan bukan di bawah seliaan JLM, selain jeti tersebut juga jauh daripada kawalan JLM.

Katanya antara jeti persendirian tidak sah yang sering digunakan pelancong untuk ke Pulau Perhentian dan Pulau Redang dari Besut adalah seperti di tepi pesisir pantai, Bukit Kluang, Pulau Rhu, dan di Sungai Kampung Raja.

“Jeti Penumpang Jabatan Laut Malaysia masih ditutup ekoran Fasa Monsun Timur Laut 2021/2022 yang bermula 3 Nov lepas, dan dijangka berterusan sehingga Mac ini. Hujan berterusan, angin kencang dan laut bergelora berisiko mengancam keselamatan bot-bot untuk beroperasi di laut,” katanya.

Muhammad Shuhaimi berkata bot pelancong itu juga didapati membawa penumpang berlebihan iaitu seramai 29 orang, berbanding 12 yang dibenarkan.

Menurutnya siasatan lisan turut mendapati, penumpang bot yang terdiri daripada 15 dewasa, 13 kanak-kanak dan seorang bayi serta dua kru bot, tidak memakai jaket keselamatan ketika kejadian kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

“Akibat pelanggaran tersebut, kesemua penumpang serta kru bot pelancong dan bot nelayan jatuh ke dalam air, dan telah diselamatkan oleh anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta orang awam.

“Seramai 22 orang dibawa ke Klinik Kuala Besut untuk mendapatkan rawatan susulan, dengan 11 orang daripadanya iaitu dua kritikal, lapan separa kritikal dan seorang cedera ringan, telah dirujuk ke Hospital Besut,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Shuhaimi berkata pengusaha bot terbabit boleh dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan tindakan saman di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952, jika didapati bersalah.

BERITA BERKAIT
POPULAR