Borang pencalonan PRN Johor laris dijual macam goreng pisang

Laris seperti goreng pisang borang pencalonan yang dijual Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac depan.

Tinggal beberapa hari lagi sebelum penamaan calon pada 26 Februari ini dan sudah sebanyak 778 borang pencalonan terjual setakat Isnin lalu.

“Hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor ke-15 akan berlangsung pada 26 Februari atau Sabtu ini bermula dari jam 9 hingga 10 pagi.

“Sebanyak 56 Pusat Penamaan Calon (PPC) akan dibuka bagi menerima borang pencalonan PRU Dewan Negeri Johor ke-15 yang akan diuruskan Pegawai Pengurus Pilihan Raya di kesemua PPC itu,” kata SPR Johor dalam satu kenyataan.

Sementara itu, setakat ini hanya Pakatan Harapan (PH) membabitkan PKR, Parti Amanah, DAP selain Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), sudah sekurang-kurangnya mengumumkan sebahagian calon mereka bagi menghadapi PRN Johor.

PKR selesai mengumumkan kesemua 20 calon mereka Sabtu lalu, manakala Amanah pula mengumumkan kesemua 16 calon parti itu Jumaat lalu.

MUDA pula sudah mengumumkan empat daripada enam calonnya setakat ini, membabitkan kerusi Puteri Wangsa, Tenang, Bukit Kepong dan Bukit Permai.

DAP juga sudah mengumumkan 14 calon parti itu secara berperingkat dengan majlis pengumuman rasmi kesemua calon berkenaan berserta penyampaian watikah calon akan diadakan jam 5 petang esok di Hotel Impiana, Senai.

PSM pula mengumumkan hanya akan bertanding di sebuah kerusi pada PRN Johor iaitu membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar.

Selain DAP, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pejuang turut akan mengumumkan calon mereka, esok.

Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan kesemua 56 calon mereka jam 10 pagi esok, PN pula dijangka mengumumkan semua 56 calon parti itu pada jam 2.30 petang di Skudai, manakala Pejuang pula akan mengumumkan kesemua 42 calon mereka di Muar pada jam 2 petang esok.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Junz Wong, berkata parti itu akan mengumumkan calon dan kerusi yang ditandingi mereka pada pagi Jumaat ini tetapi waktu serta lokasi belum diputuskan.

Satu-satunya parti yang masih belum membuat pengumuman butiran calon mereka adalah Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang dilaporkan mahu bertanding dua kerusi DUN dengan calon parti itu akan diumumkan menjelang hari penamaan.

Susulan perkembangan itu, sekurang-kurangnya 10 parti dijangka akan menurunkan calon masing-masing pada PRN Johor, sekali gus mencatat sejarah jumlah parti terbanyak yang bertanding pada satu-satu pilihan raya di negara ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR