Bomoh ‘Tok Wan’ kena penjara lapan bulan

Seorang bomoh dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyalahgunakan barang kemas bernilai lebih RM20,000 milik seorang peniaga nasi kukus yang diserah untuk ‘dibuang sihir’ pada Ogos lepas.

Majistret Sarulatha Paramavathar menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Izwan Mohd Ahmid, 34, dan memerintahkan hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh tangkap pada 5 Oktober lalu.

Mohd Izwan yang digelar ‘Tok Wan’ didakwa menyalahgunakan harta bukan miliknya iaitu 24 jenis barang kemas emas bernilai RM22,910 yang diserahkan oleh seorang lelaki untuk tujuan rawatan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Rantau Panjang, Jalan Kapar dekat sini, pada 9.21 pagi, 21 Ogos lepas, lapor Bernama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan dengan sebatan dan boleh juga didenda.

Berdasarkan fakta kes, mangsa telah menghubungi ‘Tok Wan’ pada 21 Ogos selepas disyaki mengalami gangguan misteri.

Tok Wan kemudian ke rumah mangsa bersama penolongnya dan meminta semua barang kemas milik keluarga mangsa atas alasan mahu ‘membuang sihir’ pada barang kemas tersebut dan mangsa yang mempercayainya telah menyerahkan kesemua barang kemas itu.

Pada 21 September tertuduh telah sekali lagi ke rumah mangsa dengan membawa satu punjut kain berwarna kuning yang dikatakan mengandungi barang kemas milik keluarga mangsa dan diberi arahan agar membukanya selepas 10 hari.

Bagaimanapun mangsa telah membuka punjut tersebut pada 28 September dan mendapati barang kemas yang terdapat di dalamnya adalah berbeza dan tiruan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur’ain Madihah Zulkifl memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal namun lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia perlu menanggung isteri dan empat anak selain menghidap penyakit darah tinggi dan masalah prostat.

BERITA BERKAIT
POPULAR