Boleh rentas negeri beberapa hari lagi, kata Dr Noor Hisham

Akhirnya, berita yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia berhubung kebenaran rentas negeri akan dimaklumkan dalam masa beberapa hari lagi.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, larangan rentas negeri akan ditarik balik dalam masa terdekat.

“Dalam masa beberapa hari, larangan rentas negeri akan ditarik balik. Penting untuk mengambil semua langkah berjaga-jaga seperti memakai pelitup muka, membasuh tangan dan penjarakan fizikal walaupun dalam kalangan yang sudah divaksin.

“Bagi memastikan yang tersayang dan ahli keluarga anda selamat, lakukan ujian air liur RTK-Ag sendiri secara berkala,” ciap Noor Hisham di Twitternya.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin turut memberi nasihat kepada orang ramai agar sentiasa berjaga-jaga dan membuat ujian air liur RTK bagi sesiapa yang ingin pulang ke kampung.

Katanya, kerajaan kini sudah beralih untuk melakukan ujian hanya ke atas mereka yang bergejala, rakyat yang hidup dalam latar yang banyak bergerak serta mempunyai kontak yang tinggi digalakkan untuk membuat ujian Covid-19 dengan lebih kerap.

“1.6 peratus lagi (kadar vaksinasi) sebelum sempadan antara dibuka dibuka. Kalau mahu balik kampung jumpa orang tua, buat ujian air liur RTK. Pastikan mereka selamat,” ciap Khairy semalam.

Pada 22 September lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aktiviti merentas negeri akan dibenarkan apabila 90 peratus golongan dewasa telah melengkapkan vaksinasi Covid-19.

Selain itu, Bernama turut melaporkan, kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa sudah mencecah 88.8 peratus setakat Rabu (semalam), menjadikan sasaran untuk mencapai 90 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi kini tinggal 1.2 peratus.

Berdasarkan data KKM menerusi portal Covidnow, 94.6 peratus atau 22,135,242 individu daripada populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

BERITA BERKAIT
POPULAR