Bodohnya Najib, kata Tun M ulas isu kerajaan tak perlu bayar hutang 1MDB

“Saya geli mendengar Datuk Seri Najib (Razak) bercakap dalam Dewan (Rakyat) bahawa kononnya hutang yang ditanggung oleh kerajaan ini… kerajaan tidak perlu bayar satu sen pun… hei bodohnya”.

Demikian kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengulas kenyataan Najib di Dewan Rakyat ketika membahas Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong semalam berkaitan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Di Parlimen semalam, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan dan bekas Perdana Menteri ketujuh dilaporkan berkata tidak ada satu sen pun wang rakyat yang digunakan untuk membayar prinsipal hutang 1MDB.

Ahli Parlimen Pekan itu memberitahu, bayaran sebanyak RM16.4 bilion yang diterima daripada Goldman Sachs bukanlah wang rakyat sebaliknya itu adalah wang bank terbabit yang boleh digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

Katanya, beberapa dana lain termasuk daripada Jabatan Kehakiman (DOC) Amerika Syarikat, Ambank, KPMG dan Deloittes yang kesemuanya berjumlah RM23 bilion juga bukan wang rakyat.

“Sepatutnya wang ini boleh digunakan untuk membayar hutang 1MDB. Hakikatnya, satu sen pun prinsipal hutang 1MDB tidak pernah dibayar (guna wang rakyat),” kata Najib sambil mendakwa adalah tidak betul untuk mencanangkan bahawa rakyat perlu membayar atau menanggung hutang 1MDB.

Bagaimanapun, kenyataan Najib itu disanggah Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini yang menyatakan walaupun kerajaan belum membayar balik jumlah hutang prinsipal 1MDB sebanyak RM32.3 bilion, tetapi negara sedang membayar faedah hutang tersebut iaitu sebanyak RM6.5 bilion.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Perjuangan Tanahair (PEJUANG) berkata itulah sikap Najib di mana dia membuat hutang tapi tapi enggan membayar balik.

“Dia curi duit… tambah lagi hutang… sebab itu orang ketawa terhadap dakwaannya yang dibuat di dalam Dewan Rakyat,” katanya di Batu Pahat, Johor, hari ini.

Dr Mahathir berkata kerajaan memang menggunakan banyak wang untuk menghapuskan hutang dan juga faedah daripada pinjaman dibuat 1MDB.

Keadaan ini, katanya menyebabkan kerajaan kekurangan wang untuk membangunkan negara dan memberikan perkhidmatan kepada rakyat Malaysia.

“Inilah satu perkara yang luar biasa. Najib ini adalah satu manusia yang luar biasa. Dia curi duit depan kita lepas itu dia kata tak curi. Dia bila jadi pencuri dihadap ke mahkamah didapati bersalah dihukum 12 tahun penjara.

“Tapi dia tak malu. Kena hukum 12 tahun pun tak malu… sebaliknya dia boss. Ini kalau kita tak malu, maka rosaklah masyarakat kita,” kata Dr Mahathir sambil merujuk kepada ‘Malu Apa Bossku’ yang sinonim dengan Najib.

BERITA BERKAIT
POPULAR