
Bank Negara Malaysia menaikkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari berakhir hari ini, 6 Julai 2022.
Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menekankan kepentingan untuk kalibrasi semula dasar monetari bagi mengelakkan keperluan bertindak agresif dalam menaikkan kadar faedah, kata Gabenor, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.
BNM baru-baru ini menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus daripada 1.75 peratus, dan tindakan itu telah mengejutkan pasaran, lapor Bernama.
Beliau berkata sebarang pelarasan akan memberi kesan kepada pendeposit dan peminjam.
“Walaupun OPR yang lebih tinggi mungkin menjejaskan peminjam (dengan perlu membuat) pembayaran balik pinjaman yang lebih tinggi, namun ia juga mendorong pulangan deposit lebih tinggi bagi menggalakkan individu menyimpan untuk membina penampan kewangan mereka yang terjejas akibat Covid-19,” katanya kepada pemberita di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata demikian selepas mengumumkan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2022 Malaysia.