BN kena berunding dengan parti dalam kerajaan bubar Parlimen: Nazri

Tindakan pembangkang yang tidak menyokong usul kerajaan baru-baru ini Dewan Rakyat seakan memberi isyarat mahu pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan segera.

Veteran UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz mengulangi sekali lagi pendirian tindakan pembangkang itu tidak menghormati memorandum persefahaman (MoU) yang dimerterai dengan kerajaan dan menggesa Barisan Nasional (BN) berbincang dalam parti kerajaan untuk membubarkan Parlimen.

Jelas Nazri, apabila ada persetujuan bersama perkara tersebut boleh dibawa menghadap Yang di-Pertuan Agong dan terpulang kepada budi bicara untuk menentukannya.

“Apabila usul dibentang, ia tetap dilanggar walaupun kita sudah berpegang pada MoU. Mereka ini seperti mahukan pilihan raya berlangsung segera.

“Jadi BN harus membuat keputusan dan berunding dengan parti-parti yang membentuk kerajaan. Bila ada persetujuan, seterusnya jumpa dengan Yang di-Pertuan Agong kerana bagindalah yang akan membuat keputusan nanti,” katanya dipetik laporan BH.

Nazri menafsir tindakan pembangkang di Dewan Rakyat tersebut bertujuan untuk menghilangkan majoriti yang ada kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Pertamanya, pembangkang sepatutnya memaklumkan kepada kerajaan dan kementerian berkenaan untuk mendengar dan melaksanakan libat urus sekiranya perlu. Namun sebaliknya berlaku malah Ahli Parlimen BN sendiri terkejut ini akan terjadi kerana kita yakin rang undang-udang ini akan diluluskan dan tidak akan berlaku penolakan.

“Kedua, apa tujuan pembangkang melakukan perkara sehingga ia membawa kepada kekalahan dalam pengundian di Dewan Rakyat. Saya fikir ini bertujuan menghilangkan majoriti yang ada kepada Perdana Menteri,” katanya lagi.

Terdahulu semasa di Dewan Rakyat pembangkang meminta undi belah bahagian dijalankan bagi usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan menyebabkan kerajaan gagal meluluskan usul tersebut selepas tidak mendapat sokongan mencukupi.

Usul yang dibentang Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin itu tidak diluluskan setelah melalui undi belah bahagian, yang menyaksikan 84 Ahli Parlimen (MP) bersetuju manakala 86 (pembangkang) lagi tidak bersetuju.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan keputusan undi itu berkata seramai 50 MP tidak hadir.

BERITA BERKAIT
POPULAR