Blok pembangkang sokong penuh keputusan ‘total lockdown’oleh kerajaan

Anggota tentera memasang kawat duri di Pangsapuri Permai, Cheras Kuala Lumpur yang bermula sejak tengah malam tadi. – Gambar Agenda Daily, 28 Mei, 2021.

Jawatankuasa Kos Sara Hidup Pakatan Harapan (PH) menyambut baik serta memberi sokongan penuh terhadap keputusan kerajaan melaksanakan sekatan pergerakan penuh atau “total lockdown” sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun ini.

Menurut jawatankuasa itu, keputusan itu tepat pada masanya, serta berharap kerajaan turut menyalurkan beberapa bantuan kepada rakyat yang mungkin terjejas dengan pelaksanaan keputusan itu nanti.

Antaranya menurut mereka kerajaan wajar memberi bantuan sekali bayar (one off) kepada golongan B40 dan M40, selain melaksanakan moratorium pinjaman bank selama tiga bulan.

“Kami juga mencadangkan kerajaan melaksanakan rebat bagi bil elektrik Tenaga Nasional Berhad, memastikan bekalan barangan keperluan harian serta harga tidak naik.

“…memastikan penghantaran barang keperluan ke destinasi tidak terhalang dan memastikan bantuan berupa bakul makanan sampai kepada rakyat yang memerlukan,” demikian menurut kenyataan itu lapor Bernama.

Jawatankuasa itu dianggotai Hassan Abdul Karim (PKR-Pasir Gudang); Hassanuddin Mohd Yunus (Amanah-Hulu Langat); Chong Chieng Jen (DAP-Stampin); Natrah Ismail (PKR-Sekijang); V Sivakumar (DAP-Batu Gajah); Chan Foong Hin (DAP-Kota Kinabalu); dan Cha Kee Chin (DAP-Rasah).

Semalam, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 memutuskan untuk melaksanakan sekatan pergerakan penuh atau total lockdown sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bermula Selasa ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan Covid-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes.

POPULAR