Blok pembangkang sambut baik peruntukan RM300 ribu, puji kerajaan

Langkah Putrajaya memberi peruntukan RM300 ribu kepada Ahli Parlimen pembangkang disambut baik Pakatan Harapan (PH) yang menyifatkan ia sebagai inisiatif terbaik untuk membantu rakyat ketika berdepan cabaran pandemik Covid-19.

Peruntukan bantuan bakul makanan yang dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM300,000 sememangnya dapat meringankan beban rakyat yang terjejas di kawasan Parlimen masing-masing, kata Jawatankuasa Kos Sara Hidup PH.

“Kami mewakili Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang menyambut baik bantuan bakul makanan yang dinaikkan jumlah pemberian dari RM 100,000.00 kepada RM 300,000.00 bagi setiap kawasan parlimen termasuk kalangan kawasan pembangkang.

“Kami menyarankan agar pihak kerajaan dapat menyalurkan peruntukan ini serta merta kepada semua ahli-ahli parlimen bagi untuk mengelak peristiwa terdahulu berulang kembali,” kata kenyataan bersama itu.

Untuk rekod, Putrajaya dalam satu kenyataan semalam memaklumkan peruntukan RM300 ribu tersebut sudah diagihkan kepada semua Ahli Parlimen seluruh negara untuk digunakan bagi tujuan membantu rakyat.

Jawatankuasa itu terdiri daripada sembilan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH dan sudah mengadakan perbincangan khas berkenaan Pakej PEMULIH yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun lalu.

Menurut jawatankuasa itu lagi, turut dicadangkan agar semua kerajaan negeri melakukan perkara yang sama dengan memberikan peruntukkan kepada semua wakil rakyat secara adil dan saksama demi mengharungi pandemik Covid-19 ketika ini dengan harapan meringankan beban rakyat secara menyeluruh.

Berhubung isu moratorium, pihak jawatankuasa juga menyokong langkah kerajaan memberikan moratorium secara automatik tanpa faedah.

“Jawatankuasa ini menilai dari perspektif rakyat keseluruhannya dan menyokong sepenunya langkah kerajaan dalam memberikan moratorium secara automatic tanpa Faedah yang jelas kepada semua golongan.

“Menteri Kewangan dan institusi Perbankan perlu sedar bahawa ini adalah sebahagian dari tanggungjawab social korporat yang mesti dilaksanakan demi kesejahteraan Rakyat Jelata,” katanya lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR