
Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik mengetuai pendakwaan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes rasuah projek solar hibrid di sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam hujah lisannya berkata Malaysia Today, iaitu blog yang mana dua dokumen yang didakwa sebagai keputusan penghakiman kes Datin Seri Rosmah Mansor dimuat naik – bukanlah sumber yang berwibawa.
Malah, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu menyifatkan penulis blog berkenaan adalah wartawan ‘banjingan’ (rogue) yang menulis berdasarkan berapa banyak dia diupah.
Beliau berkata demikian dalam hujahan lisan dalam prosiding permohonan Rosmah untuk menggugurkan hakim perbicaraan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan, hari ini.
“Dalam penghujahan saya, penulis artikel (di blog itu) adalah seorang pelarian daripada keadilan yang bersembunyi di United Kingdom.
“Kedua, dia adalah wartawan ‘bajingan’ (rogue). Pandangannya berubah berdasarkan berapa banyak dia dibayar,” katanya menurut MKini.
Sri Ram juga berkata penulisan pendapat oleh unit penyelidikan mahkamah tidak menjejaskan kewibawaan kehakiman dalam membuat keputusan.
Katanya penulisan seumpama itu sudah menjadi amalan sekian lama di negara Komanwel yang bertujuan untuk membantu hakim ketika menyelidik kes.
Sri Ram berkata akhirnya penulisan itu adalah pandangan anggota unit yang menulisnya dan keputusan sebenar kes masih bergantung kepada hakim.
Menurutnya dokumen bocor tersebut bukan penghakiman, sebaliknya kertas penyelidikan yang ditulis unit penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Terdahulu, peguam Rosmah Datuk Jagjit Singh berkata dokumen yang didakwa bocor tersebut adalah draf penghakiman yang disediakan oleh pihak ketiga untuk hakim Mohamed Zaini.
Jagjit berkata demikian ketika Mohamed Zaini bertanya apakah dokumen itu sebenarnya, yang menjadi asas kepada permohonan pembelaan agar dia digugurkan daripada mendengar kes tersebut.
Jagjit merujuk salinan dokumen didakwa bocor berkaitan kes rasuah Rosmah, yang kemudian disiarkan di mahkamah menerusi projektor.
Pada Selasa (30 Ogos), Rosmah memfailkan permohonan menyingkirkan Mohamed Zaini atas alasan kononnya penghakiman kesnya bocor. Keputusan penghakiman itu disediakan oleh pihak lain yang telah tular di media pada 26 Ogos.
Ini adalah kali ketiga Rosmah memfailkan permohonan untuk menggugurkan Mohamed Zaini, dengan dua permohonan sebelum ini telah ditolak.
Asas bagi Rosmah, yang pernah menerajui pejabat bahagian ‘Wanita Pertama Malaysia (FLOM)’, adalah berdasarkan kebocoran keputusan penghakiman yang dikatakan untuk kesnya yang diterbitkan sebuah blog hujung minggu lalu, yang kini dalam siasatan polis.
Ia merupakan kebocoran kedua mengenai prosiding kehakiman kerana minggu lepas, draf penghakiman melibatkan Najib diterbitkan blog sama, sebelum pendaftar Mahkamah Persekutuan membuat laporan polis.
Blog terbabit dikendalikan seorang penulis yang kini bersembunyi di luar negara setelah beberapa waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.
Dalam permohonannya, Rosmah mendakwa kebocoran itu telah mengurangkan keyakinannya terhadap keupayaan dan integriti Mohamed Zaini sebagai hakim bicara untuk membuat keputusan dengan saksama.
Didakwa pada November 2018, Rosmah – isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang kini menjadi banduan di Penjara Kajang -menghadapi satu pertuduhan meminta RM187.5 juta, berhubung projek tenaga solar hibrid di sekolah luar bandar di Sarawak.
Dia juga didakwa atas dua lagi menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.