Bicara 1MDB libatkan Najib ditangguh, beri laluan rayuan kes SRC berlangsung

August 18, 2022 · Isu semasa

Satu lagi perbicaraan mahkamah dihadapi Datuk Seri Najib Razak dalam penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangguhkan bagi memberi laluan perbicaraan kes rayuan SRC International Sdn Bhd yang sedang berlangsung.

Bekas Perdana Menteri itu sepatutnya menghadiri perbicaraan kes dana RM2.3 bilion 1MDB hari ini, bagaimanapun tarikh tersebut bertindih dengan perbicaraan kes SRC International; jika disabitkan Najib akan terus meringkuk dalam penjara.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan Selasa depan bagi pengurusan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB itu dan mengecualikan Najib itu daripada menghadiri pengurusan kes berkenaan.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, Najib dikecualikan menghadiri pengurusan kes berkenaan selepas mengambil kira beliau mungkin masih perlu melalui proses rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman kerana menyeleweng dana SRC International di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, minggu depan.

“Kita tidak boleh meramal apa yang berlaku (rayuan Najib di Mahkamah Persekutuan), kita boleh ramal untuk esok tetapi tidak boleh ramalkan minggu depan. Saya berpendapat pengurusan kes dibuat Selasa depan,” katanya dipetik laporan BH.

Terdahulu, peguam Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed, berkata proses rayuan anak guam di Mahkamah Persekutuan masih berjalan dan mungkin bersambung hingga minggu depan.

“Pihak Timbalan Pendakwa Raya masih berhujah di mahkamah itu pada ketika ini. Mengambil kira keadaan ini, cadangan saya empat tarikh perbicaraan Najib berhubung kes 1MDB pada minggu depan dikosongkan,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam.

Najib, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Sementara itu, Mohamad Mustafa memberitahu pemberita, perbicaraan kes meminda laporan audit 1MDB yang membabitkan Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy akan bersambung pada 26 Ogos.

Beliau berkata, perbicaraan sepatutnya diteruskan hari ini di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan, namun ditangguhkan atas sebab yang sama.

“Semalam, kami menerima surat daripada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi yang memaklumkan permohonan untuk melapangkan perbicaraan hari ini seperti yang diminta peguam Najib dua hari lalu, dibenarkan.

“Mahkamah menetapkan 26 Ogos dan beberapa tarikh lain pada 2 September serta 21, 25 dan 28 Oktober untuk meneruskan perbicaraan,” katanya.

Najib, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan itu bagi melindungi Najib daripada tindakan tata tertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Berita berkaitan
Najib mohon DNAA bagi tiga lagi pertuduhan membabitkan kes dana SRC
3 jam lalu· Politik
Mahkamah benarkan pasport Muhyiddin dipulangkan untuk sementara
November 29, 2023· Isu semasa
Permohonan Najib untuk hadir prosiding Mareva ditolak mahkamah
November 24, 2023· Politik
Kritik kes mahkamah Zahid, seorang pemimpin Bersatu bakal didakwa pada Jumaat
November 24, 2023· Politik
Popular
Bekas ADUN DAP disabit kes rogol lantik Hisyam Teh ketuai pasukan pembelaan
December 1, 2023
Penganggur didakwa edar dadah Methamphetamine lebih 10 kg
December 1, 2023
Usul pindah RM21 bilion kepada Kumpulan Wang Pembangunan diluluskan
November 30, 2023
Kes bunuh teman wanita: Pemandu lori dipenjara 35 tahun, 12 sebatan
November 29, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Banjir di Johor: 538 orang dipindahkan ke PPS, paras sungai naik
3 jam lalu · Isu semasa
Penganggur didakwa edar dadah Methamphetamine lebih 10 kg
4 jam lalu · Isu semasa
Bekas ADUN DAP disabit kes rogol lantik Hisyam Teh ketuai pasukan pembelaan
4 jam lalu · Isu semasa
SPR jangka 70 peratusan keluar pengundi pada PRK Kemaman esok
4 jam lalu · Isu semasa
Usul pindah RM21 bilion kepada Kumpulan Wang Pembangunan diluluskan
23 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Litar lumba projek terbengkalai BN, bukan projek Sanusi
8 jam lalu
[VIDEO] Ucapan Tuan Ibrahim di ceramah PAS Gong Limau
15 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok