Bersatu serah dua kontena kepada mangsa banjir Hulu Langat

Dua unit kontena sumbangan Skuad Prihatin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk dijadikan tempat tinggal sementara dua keluarga mangsa banjir tiba di Kampung Jawa dan Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, hari ini.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata satu unit dihantar semalam dan satu lagi hari ini sebagaimana dijanjikan semalam.

Menurutnya dua kontena itu akan dijadikan tempat tinggal sementara dua keluarga terlibat setelah rumah mereka dibawa arus dalam kejadian banjir besar minggu lalu.

“Saya berharap sumbangan ini dapat meringankan sedikit beban kepada keluarga terlibat yang kehilangan tempat berlindung dalam sekelip mata minggu lalu.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, Skuad Prihatin Bersatu akan meneruskan misi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara dengan tumpuan kepada kerja-kerja membersihkan rumah dan memberi bantuan berupa barangan makanan harian, peralatan keperluan dapur serta barangan keperluan bayi dan kanak-kanak.

“Dana yang diterima oleh Tabung Bencana Banjir Bersatu yang dilancarkan pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu baru-baru ini telah digunakan untuk membantu mangsa-mangsa terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata pada masa sama tabung tersebut turut menerima sumbangan daripada orang perseorangan dan dermawan lain.

Beliau turut menyeru supaya pihak-pihak lain membantu dan menyumbang sekadar yang termampu bagi membantu mangsa bencana alam ini untuk membina kembali kehidupan mereka terutama selepas banjir berakhir.

“Kepada para sukarelawan dan petugas barisan hadapan teruskan kerja-kerja murni ini, insya-Allah anda semua akan dilindung dan diberkati Allah SWT,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR