
Karnival KPT Keluarga Malaysia di Dewan Seri Mahkota, MRSM Batu Pahat.
Rancangan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang diterajui Menteri UMNO Datuk Seri Noraini Ahmad untuk mengadakan Karnival KPT Keluarga Malaysia di Dewan Seri Mahkota, MRSM Batu Pahat, Johor dibantah Bersatu Bahagian Parit Sulong.
Ketua Penerangannya, Hamidon Aris berkata penganjuran tersebut adalah tidak wajar pada ketika penularan varian Covid-19, Omicron masih berleluasa dan dibimbangi akan menyebabkan tercetusnya kluster yang baharu di sekolah tersebut, malah pelajar juga sedang menduduki peperiksaan SPM di situ.
Difahamkan, karnival tersebut akan dianjurkan bermula 17 Februari 2022 sehingga 19 Februari 2022, ia juga akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 18 Januari ini.
Promosi penganjuran karnival ini telah disebar secara meluas melalui institusi pengajian tinggi dan institut pengajian vokasional di sekitar Johor dan Melaka.
Maklumat mengenai karnival ini juga disebarkan oleh ketua-ketua kampung di sekitar kawasan Parlimen Parit Sulong.
“Kami mendapati lokasi karnival ini, iaitu di MRSM Batu Pahat, adalah tidak sesuai. Ini disebabkan kita sedang berhadapan dengan penambahan kes jangkitan Covid-19, terutama sekali kategori Omicron.
“Pada masa yang sama, pelajar-pelajar yang berada di MRSM Batu Pahat sekarang adalah pelajar-pelajar yang sedang menduduki peperiksaan SPM. Kami bimbang penganjuran karnival ini berpotensi menyebabkan merebaknya Covid-19 kepada pelajar-pelajar yang sedang menduduki peperiksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hamidon juga mendesak supaya lokasi karnival tersebut dipindahkan bagi mengelak para pelajar menjadi mangsa penularan Covid-19.
“Oleh itu, kami mendesak supaya karnival ini dipindahkan ke satu lokasi lain yang tidak menjejaskan anak-anak yang sedang menduduki peperiksaan,” katanya lagi.