
Ketua Penerangan Bersatu Kedah Khairul Anuar Ramli (depan, tiga dari kiri) bersama pimpinan Bersatu negeri membuat laporan kepada SPRM di Alor Setar, hari ini, 19 Jun 2022.
Parti Bersatu Kedah hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung Ahli Parlimen (MP) UMNO yang nama mereka turut disebut menerima wang daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) dalam perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Laporan itu dibuat oleh Ketua Penerangan Bersatu Negeri Khairul Anuar Ramli di pejabat SPRM di Alor Setar, pagi tadi.
“Selesai membuat laporan kepada pihak SPRM Kedah berhubung keterangan bekas Pengurus UKSB David Tan Siong Sun di mahkamah dalam perbicaraan Datuk Seri Zahid Hamidi,” kata dalam kenyataan ringkas hari ini.
Laporan itu dibuat terhadap Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein; dan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.
Laporan itu dibuat bagi membolehkan SPRM menyiasat sama ada David Tan membuat kenyataan itu atas sogokan mana-mana pihak atau tidak.
Semalam Khairul Anuar mencabar MP UMNO yang nama mereka disebut oleh David Tan supaya mengikut langkah Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, menafikan menerima wang daripada UKSB.
Muhyiddin sebelum ini menyifatkan keterangan mahkamah yang mendakwa kononnya beliau turut menerima wang tunai RM1.3 juta daripada UKSB, adalah pernyataan palsu.
Bekas Perdana Menteri itu menjelaskan pada tarikh yang disebut oleh saksi pendakwaan itu, beliau menjalani pembedahan kanser dan mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut.
“Tugasan saya sebagai Menteri Dalam Negeri telah diambil alih oleh Perdana Menteri (ketika itu) Tun Dr Mahathir Mohamad dan mendapat liputan meluas media massa,” kata Muhyiddin.
Terdahulu David Tan mendakwa lima lagi ahli politik yang menerima dana daripada UKSB ialah Khairy; Reezal Merican; Hishammuddin; Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; dan Anifah.
Zahid, 69, kini berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN, serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh kementerian terbabit.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, Zahid didakwa sebagai menteri sama ketika itu, mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.
Zahid didakwa melakukan semua kesalahan itu di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.