Berjuang selamatkan kucing

Kucing menjadi bahan penganiayaan, penderaan dan pengkhianatan bukan isu baru, lebih-lebih lagi kucing jalanan.

Tidak keterlaluan dikatakan nasib haiwan itu tidak menentu. Kalau tidak mati ditangan manusia, ia mungkin mati dimakan anjing liar atau dilanggar kenderaan.

Presiden Kelab Kucing Malaysia (KKM), Khalid Rashid atau mesra dengan panggilan Pak Khalid antara insan paling bersimpati dan prihatin dengan nasib malang menimpa kucing jalanan.

Katanya, bukan lagi kes terpencil manusia tidak berhati perut yang sanggup mendera kucing malang hingga menyebabkannya cacat, cedera atau mati.

“Hampir setiap hari ada kucing jalanan dipotong ekor, disimbah minyak panas atau air panas. Nasib kucing jalanan tidak menentu malah tidak keterlaluan kalau dikatakan bernasib malang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kata Khalid, 55, ada kalanya, air matanya mengalir kerana simpati dengan nasib kucing jalanan ini yang dibuang tuannya.

Tambah beliau, tekanan serta masalah dialami segelintir individu sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, antara punca peningkatan kes pembuangan dan penderaan kucing.

Jika dibandingkan tahun sebelum PKP, jumlah kes kucing diselamatkan lebih tinggi antara tempoh tahun lalu hingga September.

“Ada antara kucing diselamatkan itu turut didera termasuk kejadian kucing yang ditemui dalam keadaan melecur akibat disimbah dengan minyak panas hanya kerana mencuri makanan.

“Kami percaya peningkatan jumlah kucing yang dibuang serta didera sepanjang tempoh PKP mungkin disebabkan tekanan dan permasalahan dialami oleh segelintir individu sehingga mendorong mereka berbuat demikian,” katanya ditemui dalam Projek Give Back To Society di pusat perlindungan KKM di Taman Ukay Bistari baru-baru ini.

Turut hadir Presiden Suara Haiwan Malaysia, Nashriq Ismail Sabri dan petugas Klinik Veterinar Putra Nilai, Dr. Alia Azri.

Pada program itu kira-kira 100 vaksin mencegah penyakit disediakan kepada lebih 100 kucing di pusat perlindungan itu yang ditaja oleh Klinik Veterinar Putra Nilai.
Bagaimanapun hanya kucing sihat boleh diberikan suntikan vaksin berkenaan.

Menurut Khalid, pihaknya masih meneruskan program menyelamatkan kucing jalanan di sembilan pengurusan pusat jagaan kucing berkenaan.

Pusat berkenaan terletak di Kuala Lumpur, Ampang, Kajang, Bangi, Johor, Melaka dan Pulau Pinang. Ia turut dipantau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Namun pusat itu tidak akan menjaga haiwan berkenaan selama-lamanya sebaliknya kucing diselamatkan akan dibela dan dirawat sehingga pulih.

Hanya selepas pulih ia akan diserah kepada keluarga angkat.

“Alhamdulillah, setiap kali program dijalankan, sekurang-kurangnya 30 kucing akan diambil dan dipelihara oleh keluarga angkat,” katanya yang menjelaskan kucing jalanan biasanya dalam kalangan kucing rumah dan kucing kampung.

Katanya, tiada bayaran dikenakan untuk keluarga angkat kucing, sebaliknya, keluarga berkenaan digalakkan menderma makanan kucing atau rawatan kucing kepada kelab berkenaan.

“Kami di Kelab Kucing Malaysia tidak menggalakkan orang ramai menderma dalam bentuk wang tunai. Sebaliknya lebih baik menderma makanan kucing selain rawatan untuk haiwan ini,” katanya yang menjelaskan pusat berkenaan amat mengalu-alukan mana-mana organisasi yang mahu menjadikan pusat jagaan ini sebagai rumah angkat mereka.

Bercerita tentang minatnya membela kucing, Khalid memberitahu, sejak sekolah memang dia suka bela kutip kucing jalanan lalu di bawa balik ke rumah.

“Dulu saya pantang melihat kucing yang terbiar di tepi jalan. Saya akan ambil dan bawa balik, bersihkan dan beri makan.

“Saya gembira melihat mereka bersih dan berselera makan. Lama-kelamaan saya tidak sedar tabiat itu sudah sebati dalam diri hingga kini,” kata ayah kepada dua orang anak ini.

Tambah Khalid, tidak semua orang suka kucing.

Kadangkala ada orang berjumpa haiwan ini dalam keadaan yang cedera parah tetapi takut untuk menyelamatkannya disebabkan berpenyakit, dijangkiti virus, berbau busuk dan kotor.

“Biarlah saya mengambil tanggungjawab itu supaya kesengsaraan mereka dapat dikurangkan. Saya sanggup berkorban apa saja asalkan nyawa mereka dapat diselamatkan,” katanya.

Cerita Khalid, pada peringkat awal keluarganya tidak suka dia membawa balik kucing jalanan namun lama-kelamaan keluarganya menyokong dan mulai sayangkan kucing-kucing tersebut.

“Dulu keluarga pelik melihat saya membawa balik kucing jalanan. Mereka tidaklah marah tetapi tidak suka dengan tindakan saya itu. Tetapi selepas melihat perubahan kucing jalanan yang manja, keluarga semakin sayang kucing-kucing tersebut.

“Akhirnya, kami sama-sama menjaga kucing-kucing ini,” ujarnya.

PBT dicadang wujudkan taman untuk kucing
Pihak berkuasa tempatan (PBT) dicadangkan menubuhkan taman kucing agar lokasi tumpuan awam bebas daripada gangguan kucing jalanan.

Khalid berkata melalui penubuhan taman kucing ini, haiwan tersebut boleh dijaga dengan baik terutama dari segi pemberian vitamin dan penjagaan kebersihan harian.

“Setakat ini ada lebih 5,000 kucing jalanan di Lembah Klang diselamatkan sejak pelaksanaan PKP, Mac 2020.

“Daripada jumlah itu, lebih 2,000 ekor kucing dijadikan anak angkat kepada pencinta haiwan, manakala selebihnya ditempatkan di pusat perlindungan,” katanya yang mempunyai impian membuka muzium kucing.

BERITA BERKAIT
POPULAR