
Berjaya Corporation Bhd (BCorp).
Berjaya Corporation Bhd (BCorp) catat kerugian bersih RM117.30 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 berbanding keuntungan bersih sebanyak RM51.77 juta yang disaksikan pada tahun sebelumnya.
Pendapatan, bagaimanapun, melonjak kepada RM9.64 bilion daripada RM8.16 bilion, mewakili kenaikan 18 peratus, disumbangkan oleh semua segmen perniagaan, kata kumpulan konglomerat pegangan pelaburan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, menurut laporan Bernama.
Bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2023, Bcorp mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM79.33 juta daripada keuntungan bersih RM48.63 dalam tempoh yang sama tahun lepas, manakala hasil menokok kepada RM2.56 bilion berbanding RM2.35 bilion sebelum ini.
Pendapatan segmen runcit bukan makanan yang lebih tinggi pada tahun kewangan 2023 telah disokong oleh jualan yang agak mantap yang direkodkan oleh kumpulan permotoran mewah, HR Owen dalam kedua-dua sektor kereta baharu dan terpakai, ditambah pula dengan kesan pertukaran wang asing yang menggalakkan sepanjang tahun kewangan dalam tinjauan.
“Segmen runcit makanan turut melaporkan lonjakan hasil daripada kempen pemasaran yang agresif dan strategi promosi yang berkesan, serta tambahan kafe Starbucks yang beroperasi di Malaysia pada tahun kewangan tersebut,” katanya.
BCorp menjelaskan margin keuntungan dalam tahun kewangan semasa telah terjejas secara negatif disebabkan oleh peningkatan kos operasi akibat tekanan inflasi dan kos kewangan yang lebih tinggi yang timbul daripada kenaikan kadar faedah di United Kingdom.
“Walaupun perniagaan runcit makanan menyaksikan kenaikan hasil, ia mempunyai keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah pada tahun kewangan semasa.
“Ini disebabkan oleh kos operasi yang lebih tinggi yang berpunca akibat tekanan inflasi dan kadar pertukaran yang tidak menggalakkan kepada dolar US,” kata kumpulan itu.
Mengenai prospek, kumpulan meramalkan prestasi yang lebih baik dalam semua segmen perniagaan pada tahun kewangan akan datang berikutan peningkatan dalam perbelanjaan pengguna, pemulihan dalam pelancongan termasuk keadaan pasaran buruh yang amat memberangsangkan.
“Kumpulan akan terus memantau keadaan global semasa dan situasi politik tempatan di negara tempat kumpulan menjalankan perniagaan,” tambahnya.