
Pada 4 Ogos lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan bahawa hampir RM1.4 bilion peruntukan kerajaan yang disediakan untuk projek LCS bernilai RM9 bilion, telah dialihkan untuk kegunaan lain.
Rakyat perlu dimaklumkan dari semasa ke semasa mengenai penemuan penyiasatan dalam skandal kontroversi kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kata Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4).
Pengarah Eksekutifnya Cynthia Gabriel berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih membisu berhubung perkara itu dan rakyat perlu diberi maklumat terkini mengenai siasatan itu.
“Pada masa sama, SPRM mesti menjelaskan sama ada siasatan telah dibuka atau tidak terhadap mana-mana tokoh penting yang terlibat seperti Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,” katanya pada sidang media di pejabat C4 di Petaling Jaya hari ini (Rabu, 21 September 2022).
Gabriel juga menggesa penyiasatan terhadap ‘tangan-tangan tersembunyi’ yang terlibat dalam skandal LCS itu dibuat dengan kadar segera, sambil menyatakan isu itu menunjukkan bukan seorang individu yang terlibat.
“Buat masa ini, hanya bekas Panglima Tentera Laut Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor telah didakwa dan ini amat mengecewakan memandangkan bukti menunjukkan dia tidak boleh bertindak sendirian malah bukan tokoh utama mendalangi skandal itu,” katanya.
Beliau juga mempersoalkan sikap SPRM yang berdiam diri mengenai skandal kapal selam Scorpene walaupun pihak berkuasa Perancis sudah menjalankan siasatan dan pendakwaan mereka.
“Berikutan jejak langkah mahkamah Perancis, SPRM mesti menyiasat tokoh penting yang terlibat di sini (Malaysia), yang juga termasuk beberapa daripada mereka yang terlibat dalam LCS,” katanya.
Sebagai langkah sementara, Gabriel berkata Parlimen harus menubuhkan Jawatankuasa Khas Perolehan Pertahanan yang menyediakan penelitian terhadap urus niaga perolehan berbilion-bilion ringgit.
“Tuntutan utama kami (ialah) supaya Parlimen merangka Rang Undang-undang Perolehan khusus untuk dibahaskan, dengan akta yang sepadan diluluskan sebagai perkara yang mendesak,” katanya.
Mengenai peranan kerajaan, Gabriel berkata pemimpin Malaysia mesti mempunyai keinginan untuk bekerjasama dengan kerajaan negara lain bagi membuka siasatan terhadap mereka yang terlibat.
“Sifat transnasional kes rasuah yang besar tidak boleh diabaikan lagi,” katanya.
Pada 4 Ogos lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan bahawa hampir RM1.4 bilion peruntukan kerajaan yang disediakan untuk projek LCS bernilai RM9 bilion, telah dialihkan untuk kegunaan lain.
Bagaimanapun, sehingga kini tidak ada sebuah pun LCS yang diserahkan kepada kerajaan walaupun kira-kira RM6 bilion telah dibayar kepada kontraktor pembinaan.
Laporan yang didedahkan oleh Jawatankuasa Siasatan Khas mengenai Tadbir Urus Awam, Perolehan dan Kewangan juga mendedahkan bahawa Zahid dan Najib terlibat dalam projek LCS masing-masing seawal 2010 dan 2008, ketika Barisan Nasional (BN) dan UMNO berkuasa.