Berita ringkas Parlimen 3 Mac 2022

Bangunan ganti 169 sekolah daif di Sabah siap

Sebanyak 169 sekolah di Sabah yang mempunyai bangunan daif telah siap dibina bangunan gantian penuh setakat 28 Feb tahun ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan Senator Datuk Dr Mah Hang Soon.

Bercakap dalam sesi Kamar Khas persidangan Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata keutamaan Kementerian Pendidikan (KPM) adalah membaik pulih atau membina bangunan gantian bagi sekolah dengan bangunan daif yang berskala enam dan tujuh.

Beliau berkata sehingga Februari 2022, terdapat 419 sekolah mempunyai bangunan daif di Sabah dengan 384 daripadanya adalah kategori daif berskala enam dan 35 lagi berskala tujuh, lapor Bernama.

“Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Rolling Plan 1 (RP1) tahun 2021 dan RP2 bagi 2022, sejumlah 44 projek baik pulih atau pembinaan gantian sekolah dengan bangunan daif diluluskan bagi Sabah. Buat masa ini, status pembinaan projek ini masih dalam fasa prabina,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) mengenai senarai sekolah daif yang dikenal pasti menerusi Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Negeri Sabah dan bilakah peruntukan akan diluluskan serta proses penambahbaikan dapat dilaksanakan.

Ahli Parlimen syor Dasar Lautan Negara

Seorang Ahli Parlimen pembangkang hari ini mencadangkan satu dasar berkaitan lautan yang memfokuskan kepada usaha memulihara biodiversiti marin, pengurusan sumber laut, alam sekitar dan menjaga kedaulatan sempadan negara diperkenalkan.

Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini berkata sehingga kini tiada sebarang dasar berkaitan pengurusan marin dilakukan meskipun negara mempunyai kekayaan hasil lautan dan ia wajar diperkenalkan sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan hasil laut. Kita mempunyai dasar perhutanan (Dasar Perhutanan Malaysia) namun tiada dasar berkaitan marin. Justeru, saya meminta kerajaan menghasilkan satu draf nasional iaitu Dasar Lautan Negara atau National Ocean Policy,” katanya.

Banjir: MAFI agih 19,000 benih ikan di Pahang

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengagihkan 91,250 benih ikan bernilai RM146,140 secara percuma kepada 149 penternak ikan patin di Pahang yang terjejas akibat banjir besar yang melanda negeri itu tahun lepas, bagi tempoh 1 Januari sehingga kini.

Kementerian itu memaklumkan bagi tahun 2021 pula, sejumlah 1,904,330 benih ikan bernilai RM439,723 diberikan secara percuma kepada 472 orang penternak di negeri itu.

“Kementerian memperakukan sebanyak RM5.02 juta melalui Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) untuk membantu semua penternak akuakultur dan nelayan darat yang terkesan akibat banjir.

“Beberapa usaha mengurangkan impak bencana alam seperti banjir kepada penternak akuakultur turut dilaksanakan antaranya menasihati penternak mengurangkan aktiviti pembenihan atau ternakan sebelum musim banjir dan menuai hasil ternakan yangmencapai saiz pasaran sebelum musim banjir,” menurut jawapan bertulis kementerian itu di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Ia menjawab soalan Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir (PH-Temerloh) mengenai bantuan yang diberikan kepada pengusaha ikan patin yang terjejas teruk akibat banjir yang menghanyutkan kayu balak dan merosakkan sangkar.

BERITA BERKAIT
POPULAR