Berita ringkas Parlimen 21 Mac

Pindaan Akta Kerja 1955 lulus

Dewan Rakyat hari ini meluluskan pindaan Akta Kerja 1955 (Akta 265), yang antara lain mencadangkan agar cuti paterniti dinaikkan daripada tiga kepada tujuh hari, selepas mendapat sokongan suara terbanyak.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim ketika membentangkan Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2021 untuk bacaan kali kedua berkata ia bertujuan memberi ruang kepada pekerja lelaki yang isterinya bersalin supaya dapat menguruskan kelahiran anak dalam tempoh mencukupi.

“Cadangan ini juga selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia Ceraian SR.5.4.2 yang menekankan konsep mengutamakan keluarga. Melalui pindaan ini, pekerja lelaki sektor swasta akan turut menikmati faedah yang sama seperti penjawat awam,” katanya lapor Bernama.

Seramai 19 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian membahaskan rang undang-undang itu dengan kebanyakannya menyentuh isu cuti paterniti, cuti bersalin, gaji minimum serta buruh paksa.

K-KOMM syor perlombongan kripto dibenar

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) mencadangkan supaya aktiviti perlombongan kripto dan token ‘non-fungible’ (NFT) dibenarkan di sisi undang-undang untuk membantu generasi muda yang terlibat secara aktif dalam ruang ini, terutama dalam platform perdagangan NFT.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata pihaknya akan meneliti cara untuk meningkatkan penglibatan golongan muda dalam aset digital.

“Semua ini di bawah Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Bagaimanapun, kita di pihak kementerian ingin daftarkan, sebab ini adalah perniagaan dan program kewangan masa depan, terutama buat anak muda sekarang.

“Kita harap kerajaan dapat dan cuba ‘legalise’ (membenarkan di sisi undang-undang) perkara ini supaya penyertaan anak muda dalam mata wang kripto dapat kita kembangkan dan bantu mereka dari segi penggunaan tenaga dan sebagainya,” katanya.

Promosi berterusan festival layang-layang

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya Tourism Malaysia akan memastikan Festival Layang-layang di Pasir Gudang, Johor terus dikenali di dalam dan luar negara.

Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihaknya akan meneruskan promosi dan pembangunan pakej yang bersesuaian untuk meningkatkan jumlah pengunjung ke Johor khususnya dan Malaysia secara amnya.

“Festival ini sentiasa menerima sambutan yang menggalakkan baik daripada pengunjung dari dalam mahupun luar negara. Pada 2019, iaitu edisi terakhir festival ini dianjurkan setakat ini, ia berjaya menarik penyertaan 43 negara melibatkan 215 peserta dari luar negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang ingin tahu sama ada MOTAC memberi kerjasama kepada kerajaan Johor dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang untuk meningkatkan Festival Layang-layang ke taraf global dan terkenal di seluruh dunia.

Kaji pelan pembangunan padi Sarawak

Jabatan Pertanian Sarawak sedang mengkaji semula perancangan asal pelan pembangunan padi di kawasan Sungai Tunoh dan Nanga Merit sebagai kawasan pengeluaran padi utama di Kapit.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata langkah itu diambil bagi mewujudkan model pembangunan yang holistik dan mampan selaras dengan Dasar Sekuriti Makanan Negara serta aspirasi pembangunan kerajaan Sarawak untuk meningkatkan tahap sara diri bagi beras di Sarawak.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Wilson Ugak Kumbong (GPS-Hulu Rajang) yang ingin tahu status skim menanam padi di Nanga Merit dan Sungai Tunoh di Kapit.

Ramadan: Bekalan ayam mencukupi

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memberi jaminan bekalan ayam mencukupi dan stabil sepanjang Ramadan yang bermula awal April ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata kerajaan mengambil langkah jangka pendek dan panjang termasuk mengimport 10,000 tan metrik ayam bulat (sejuk beku) dari luar negara bagi memastikan bekalan ayam sentiasa mencukupi.

“Kerajaan juga memberi subsidi sejumlah RM528 juta meliputi 60 sen sekilogram bagi ayam serta lima sen untuk sebiji telur (gred A, B dan C) kepada penternak (tempatan) yang terbeban dengan peningkatan kos pengeluaran dan makanan ternakan ayam.

“Inisiatif subsidi itu dijangka memberi manfaat kepada 2,061 penternak ayam pedaging dan 194 penternak ayam penelur di seluruh negara,” katanya menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) mengenai jaminan kerajaan untuk memastikan bekalan ayam mencukupi dan harganya terkawal, terutama menjelang bulan Ramadan nanti.

Isu KWSP artis dibincang pasukan khas

Isu membabitkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta perlindungan insurans bagi golongan artis dan penggiat seni bebas merupakan antara perkara dibincangkan di bawah Task Force Industri Kreatif.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata Task Force berkenaan akan meneliti dan memudah cara langkah-langkah penambahbaikan industri kreatif termasuk dari segi kebajikan penggiat seni termasuk artis, pelakon serta pekerja belakang tabir.

Jelasnya pandangan dan maklum balas sebagai input penting untuk melaksanakan inisiatif berkenaan juga diperoleh daripada Persatuan Pengeluar Filem (PFM), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM).

Beliau berkata demikian menjawab soalan Dr Maszlee Malik (PH-Simpang Renggam) yang ingin tahu usaha dan insentif Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) untuk membantu pelakon dan artis menyimpan atau menabung di KWSP demi masa depan dan saraan hari tua mereka di Dewan Rakyat hari ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR