
Bangunan Parlimen Malaysia.
529 warisan budaya tak ketara diwarisi sehingga kini: Nancy
Sebanyak 529 warisan budaya tidak ketara diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) sehingga kini, menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata di peringkat antarabangsa, enam eleman warisan budaya tidak ketara di Malaysia mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) berdasarkan prinsip-prinsip Konvensyen Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara 2003.
“Warisan (budaya) tidak ketara itu adalah seperti Mak Yong, Dondang Sayang, Silat, Upacara Wangkang yang diangkat bersama dengan negara China; Pantun yang diangkat bersama dengan Indonesia dan Songket.
“Kita akan terus mengenal pasti elemen-elemen warisan budaya tidak ketara negara yang boleh diketengah dan disenaraikan pada masa hadapan,” katanya bagi menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) berhubung usaha kementerian dalam memartabatkan warisan tidak ketara negara pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Lebih 89,000 kes penipuan dalam talian sejak lima tahun lalu
Sebanyak 89,798 kes penipuan dalam talian dengan kerugian dianggarkan bernilai lebih RM2.9 bilion dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh 2017 hingga Jun tahun ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata dalam tempoh sama, kes pembelian dalam talian mencatatkan kes tertinggi iaitu 32,791 berbanding kes-kes lain antaranya Macau Scam, Love Scam, African Scam dan tipu khidmat pesanan ringkas (SMS).
Beliau berkata seramai 42,884 tangkapan dibuat dan sebanyak 25,891 pertuduhan dilaksanakan dalam tempoh sama.
Beliau menjawab soalan asal Datuk Zakaria Mohd Edris (Bersatu-Libaran) berkenaan pendekatan kerajaan untuk membanteras jenayah komersial membabitkan penipuan dalam talian pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Lebih 35,000 jalan berlubang ditampal sejak enam bulan lalu
Sebanyak 35,264 jalan berlubang ditampal di seluruh negara bermula 1 Jan hingga 30 Jun lepas, menurut Kementerian Kerja Raya.
Kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak 29,999 jalan berlubang yang ditampal di Sabah, Sarawak dan Labuan manakala baki 5,265 jalan berlubang pula di Semenanjung Malaysia.
Selain itu, kementerian itu memaklumkan Inisiatif Program Aku Janji Zero Potholes dilaksanakan bermula 3 Julai 2020, antara Jabatan Kerja Raya, Syarikat Konsesi Jalan Persekutuan dan kementerian itu bagi memantau kerosakan jalan raya serta memperkukuh komitmen terhadap penyampaian perkhidmatan penyenggaraan Jalan Persekutuan.
Kementerian itu menjawab soalan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) mengenai usaha kementerian dalam meneliti aspek kualiti jalan di Malaysia serta pelaksanaan pemantauan terhadap standard turapan jalan.
Jumlah menteri berdasarkan keperluan, cabaran dan kepakaran
Jumlah dan pelantikan anggota pentadbiran adalah yang terbaik berdasarkan keperluan, cabaran dan tanggungjawab serta kepakaran yang diperlukan buat masa ini, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.
Menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini, beliau berkata Jemaah Menteri yang dilantik melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi demi menjaga kebajikan rakyat Keluarga Malaysia.
Selain itu, beliau memaklumkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Pengurusan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri (MAMPU) diberi tanggungjawab untuk menilai pencapaian Jemaah Menteri dan kementerian.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) mengenai penambahbaikan pentadbiran Jemaah Menteri yang tidak komited dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab dalam soal kebajikan rakyat.
Covid-19: 43,00 mohon bantuan khas urus kematian sehingga 5 julai
Sebanyak 42,930 permohonan Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diterima sehingga 5 Julai, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.
Menurut jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 25,526 permohonan layak telah diluluskan dengan jumlah bantuan RM127 juta manakala 7,300 permohonan masih diproses, 1,205 permohonan tidak layak serta 8,899 permohonan diteliti kerana dokumen tidak lengkap dan tidak jelas.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) berhubung statistik dari segi kelulusan, penolakan dan sedang diproses untuk bantuan khas kematian Covid-19 di bawah NADMA dan jumlah yang telah disalurkan.