Berita ringkas Parlimen 15 Mac

KDN minta Hamid Bador kemuka bukti kartel dalam polis

Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini meminta bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador untuk tampil mengemukakan bukti berhubung dakwaan wujud isu kartel yang mencaturkan perjawatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi kepentingan peribadi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II Datuk Jonathan Yasin berkata adalah lebih baik untuk Abdul Hamid membuat laporan serta memberikan semua data yang beliau peroleh dan jika benar wujud dakwaan itu, pihaknya bersedia melakukan siasatan, lapor Bernama.

“Kita juga hairan kenapa tindakan tidak diambil semasa beliau menjawat jawatan itu malah membuat dakwaan umum ketika habis tempoh bertugas.

“Dakwaan itu boleh menjejaskan nama baik kementerian dan seluruh agensi di bawah KDN,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 22 Februari lalu, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dalam kenyataan memaklumkan dakwaan wujud kartel dalam PDRM sebagaimana didakwa bekas Ketua Polis Negara itu tidak dapat ditentusahkan.

Kaji IPT tak laksana peperiksaan pada Jumaat-Ahad

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi diminta membuat perbincangan secara terperinci dengan pihak universiti berhubung cadangan agar institut pengajian tinggi (IPT) tidak mengadakan peperiksaan pada hari Jumaat hingga Ahad.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pihak kementerian membenarkan IPT melalui Senat mereka untuk merancang dan melaksanakan peperiksaan masing-masing mengikut kesesuaian.

“Yang Berhormat Tuaran (Datuk Seri Madius Tangau) ada menyuarakan pandangan agar IPT tidak mengadakan peperiksaan pada hari Jumaat hingga Ahad. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) amat menyambut baik cadangan tersebut.

“Tetapi untuk makluman Yang Berhormat, sistem peperiksaan di IPT tidak berpusat sebagaimana peperiksaan awam yang lain seperti Sijil Pelajaran Malaysia. Semua IPT mempunyai takwim akademik yang berbeza,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

KPDNHEP cari alternatif dua harga minyak masak

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang mencari alternatif termasuk penetapan dua harga bagi kegunaan minyak masak domestik dan eksport.

Menteri berkenaan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata langkah itu bertujuan memastikan agihan subsidi minyak masak sampai kepada golongan sasar.

“Kita sedang berunding mencari alternatif kepada sistem sedia ada termasuk melihat kepada (penetapan) dua harga (untuk minyak masak)…kegunaan domestik satu harga dan kegunaan eksport mungkin ikut harga pasaran.

Ini adalah cadangan untuk kita menangani masalah terlalu banyak perbelanjaan untuk subsidi (minyak masak),” katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Kos jana elektrik naik 45 peratus

Peningkatan harga arang batu telah menyebabkan kos penjanaan elektrik meningkat sebanyak 45 peratus, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini.

Namun begitu, katanya, kerajaan telah mengambil keputusan untuk memberi rebat sebanyak dua sen per kilowatt jam untuk pengguna domestik bagi tempoh Februari sehingga Jun 2022.

“Kerajaan menampung subsidi sebanyak RM715 juta, yang mana kita menggunakan dana daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik. Kita tidak kenakan apa-apa surcaj walaupun ia sepatutnya dilepaskan kepada pengguna,” katanya ketika menggulung perbahasan usul perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA) di Dewan Rakyat, hari ini.

Takiyuddin berkata antara Julai sehingga Disember 2021, sebanyak RM1.672 bilion telah dibelanjakan untuk pembayaran bahan api bagi penjanaan elektrik yang sepatutnya dilepaskan kepada pengguna bagi tempoh Februari sehingga Jun 2022.

Negara pembekal kurang ayam sejuk beku

Kelewatan ayam sejuk beku dibawa masuk ke negara ini adalah disebabkan oleh kekurangan bekalan dari negara pengeksport, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Beliau berkata sehingga 7 Mac lepas, sebanyak 4,000 tan metrik ayam beku telah dibawa masuk oleh 14 syarikat yang mempunyai Permit Import (AP).

“Kita dapat maklumat Thailand mempunyai kekurangan bekalan serta harga yang tidak kompetitif, mereka juga turut beralih kepada sumber protein ayam kerana penyakit Demam Babi Afrika (ASF), menjadikan permintaan di Thailand meningkat lalu pengeluaran menurun.

“China juga mempunyai kekurangan bekalan dan cuba mendapatkan bekalan dari Thailand,” katanya menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) yang ingin tahu halangan yang dihadapi syarikat AP bagi membawa ayam sejuk beku masuk ke negara ini pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Sisa makanan sebagai baja organik

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mempertimbangkan penggunaan sisa makanan sebagai baja organik, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata langkah itu bertujuan menggalakkan penggunaan baja organik selain baja kimia dalam industri penanaman.

“Sisa makanan boleh dijadikan sebagai baja organik malah di negara kita industri organik sedang berkembang cuma penggunaannya belum meluas.

“Oleh itu, kita sedang menumpukan penggunaan baja organik selain dari baja kimia sebagai pendekatan daripada pihak (MAFI),” katanya ketika menjawab soalan tambahan Nor Azrona Surip (PH-Merbok) pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Nor Azrona ingin tahu sekiranya MAFI bersedia menggunakan sisa makanan bagi menampung keperluan makanan ternakan selain daripada industri jagung sedia ada.

Punca prestasi sekuriti makanan negara turun

Pengenalan kategori baharu dalam laporan Indeks Sekuriti Makanan Dunia (GFSI) pada 2020 menjadi punca prestasi negara menurun dalam laporan yang menilai tahap kerentanan sesebuah negara terhadap sekuriti makanan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata penambahan kategori sumber asli daya tahan untuk menilai kesan perubahan iklim, kerentanan sumber asli serta kesiapsiagaan negara terhadap risiko telah menyebabkan skor dan kedudukan hampir kesemua negara terlibat berubah daripada kedudukan asalnya.

“Jika dilihat dalam laporan GFSI 2019, Malaysia menduduki tangga ke-28 tanpa mengambil kira kategori baharu ini. Namun, setelah kategori tersebut diperkenalkan pada 2020, kedudukan negara berubah ke tangga 44.

“Begitu juga Singapura yang dilaporkan berada di tangga pertama pada 2019, kedudukan negara berkenaan jelas berubah ke tangga 20 setelah pelarasan semula dilaksanakan dengan mengambil kira kategori baharu ini,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad berkata berdasarkan Laporan GFSI 2021, Malaysia berada di kedudukan ke-39 dengan skor 70.1, iaitu peningkatan 5.1 peratus berbanding 2020 dan peningkatan itu adalah yang tertinggi dalam kalangan 113 negara yang terlibat.

Infrastruktur RTT, mobile home dikawal

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan memastikan infrastruktur dan kemudahan untuk pelancong Kembara Roof Top Tent (RTT) dan Mobile Home di negara ini dijaga untuk keselesaan mereka.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata perkara utama yang perlu diberi perhatian dalam pembangunan produk itu (RTT dan Mobile Home) adalah ketersediaan kemudahan dan infrastruktur serta tapak dan fasiliti seperti sambungan tenaga elektrik, perparitan dan saliran untuk air, kumbahan dan sebagainya.

“MOTAC juga telah mengadakan mesyuarat pada tahun lepas disusuli (mesyuarat pada) minggu lepas bersama pihak yang terlibat bagi memastikan kita mengambil peluang potensi memajukan industri pelancongan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) yang ingin tahu tahap kemudahan infrastruktur dan prasarana bagi pelancong Kembara RTT dan Mobile Home serta perancangan kementerian bagi meningkatkan lagi infrastruktur untuk kemudahan dan keselesaan pelancong di negara ini.

11,117 kursus jangka pendek kepada lepasan sekolah

Sebanyak 11,117 kursus micro-credential (penawaran kursus pendek) daripada 594 program yang mendapat akreditasi ditawarkan untuk lepasan sekolah sehingga 31 Jan lepas, melibatkan peringkat sijil hingga sarjana, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata pelaksanaan micro-credential diperkenal untuk membantu meningkatkan kebolehpasaran anak muda, yang secara tidak langsung dapat membantu meringankan beban hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Dengan peningkatan penawaran kursus secara micro-credential dalam kalangan institut pengajian tinggi (IPT), usaha ini dilihat mampu menyokong usaha memperhebat pembangunan bakat untuk kemajuan negara dan mempelbagai pembelajaran secara lebih fleksibel,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata antara inisiatif yang diambil untuk meningkatkan pengambilan kursus pendek ialah bekerjasama dengan PTPTN bagi bantuan kewangan kepada mereka yang mengambil kursus pendek serta memberi akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) melalui Code of Practice TVET Program Akreditasi (COPTPA) untuk tujuan pindah kredit dan pengiktirafan pekerjaan.

Noraini berkata demikian bagi menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) yang mahu tahu usaha terkini Kementerian Pengajian Tinggi menggalakkan pengambilan kursus TVET dan kursus kemahiran pendek dalam kalangan lepasan sekolah.

BERITA BERKAIT
POPULAR