
Bangunan Parlimen Malaysia.
Jumlah aset menyelamat di seluruh negara ditambah
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) akan menambah jumlah aset bagi tujuan menyelamat di Balai bomba seluruh negara, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Ismail Abd Mutalib berkata JBPM juga dalam proses untuk memperoleh aset-aset baharu seperti bot penyelamat, ski jet, kenderaan pacuan empat roda, kenderaan angkut dan logistik serta lain-lain, lapor Bernama.
“JBPM menerima seramai 1,000 pelatih Pegawai Bomba Gred KB19 yang melapor diri pada 7 Feb 2022 di tiga Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) iaitu di Terengganu, Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) mengenai penambahan jumlah aset dan anggota di Balai Bomba dan Penyelamat di Tanjung Manis.
Penerima PPRT perlu patuhi syarat pemilikan tapak rumah
Penerima bantuan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) perlu memenuhi syarat pemilikan tanah tapak rumah bagi memudahkan proses pemberian bantuan kepada mereka, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Memetik laporan Bernama, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Hasbi Habibollah berkata syarat berkenaan selain kriteria dalam kumpulan miskin dan miskin tegar, perlu diterima oleh penerima bagi mengelak risiko perebutan hak milik setelah bantuan diterima kelak.
Sementara itu, Hasbi berkata pemilihan penerima adalah melalui bank data sistem eKasih dan permohonan melalui perakuan dan pengesahan daripada Mesyuarat Focus Group Pembasmian Kemiskinan Peringkat Daerah (FGD) atau Negeri (FGN).
“Kementerian turut mengadakan inisiatif “search and assist” oleh pegawai-pegawai Kementerian dan Agensi di bawah Kementerian dari masa ke masa.” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Rusnah Aluai (PH-Tangga Batu) mengenai pemilihan untuk mendapatkan rumah dalam PPRT dilakukan memandangkan ada rakyat yang sukar mendapat keutamaan bantuan tersebut.
Rancang bina jalan desa di Tuaran
Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mempertimbangkan untuk membina jalan perhubungan desa di beberapa kampung di daerah Tuaran, Sabah sebagai langkah jangka pendek mengatasi keperluan penduduk setempat, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri II kementerian itu, Datuk Hasbi Habibollah berkata pejabat KPLB Sabah akan diarahkan turun ke kawasan terlibat bagi melaksanakn siasatan tapak (projek) dan menyediakan anggaran peruntukan yang diperlukan terutama untuk jalan utama ke kampung dan sekolah.
“Bagaimanapun cadangan pembinaan jalan tersebut akan dirujuk kepada UPEN (Unit Perancang Ekonomi Negeri) Sabah untuk dimasukkan sebagai senarai keutamaan dalam Rolling Plan berikutanya,” katanya pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran) yang bertanyakan sama ada kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menaik taraf akses jalan-jalan kampung khususnya yang berdekatan dengan sekolah.
Kompaun, penalti pemaju gagal patuh garis panduan bina rumah
Sebanyak 10 tindakan penguatkuasaan terhadap pemaju meliputi kompaun dan penalti dikenakan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan kegagalan pematuhan garis panduan pembinaan perumahan di kawasan berisiko tinggi, sehingga 15 Feb lepas.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan di Selangor (empat tindakan penguatkuasaan) dan masing-masing dua di Perak, Pahang dan Pulau Pinang.
“Contohnya, PBT di Pulau Pinang akan mengenakan kompaun dan mengeluarkan Notis Berhenti Kerja serta Surat Tunjuk Sebab kepada pemaju yang ingkar manakala PBT di Selangor tindakan kompaun akan dikenakan kepada pemaju ke atas syarat kelulusan Kebenaran Merancang (Borang C1) yang diberikan termasuk syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Sensitif Alam Sekitar (JKSAS),” katanya.
Ismail berkata demikian bagi menjawab soalan asal Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) mengenai penguatkuasaan pematuhan garis panduan oleh pemaju terhadap pembinaan perumahan di kawasan berisiko tinggi. – Bernama