Berita ringkas Dewan Rakyat 1 Ogos

August 1, 2022 · Isu semasa

Dakwaan PBS dilaksana tergesa-gesa tak tepat: Menteri Pendidikan

Dakwaan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dibuat secara tergesa-gesa bagi menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) adalah tidak tepat, menurut Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata PBS sebenarnya telah dilaksanakan lebih 10 tahun lepas bermula 2011 di peringkat sekolah rendah dan diperluaskan ke peringkat sekolah menengah setahun kemudian.

“Kita telah membuat sesi libat urus melibatkan ramai pihak, dalam konteks ini kita dapati dalam setiap keputusan nak dibuat, akan ada kekangan, sama ada kita nak tunggu situasi menjadi sempurna baru kita nak laksanakan, kita tak tahu bila,” katanya menurut Bernama.

Beliau menjawab soalan tambahan Natrah Ismail (PH-Sekijang) mengenai sama ada kerajaan bertindak secara tergesa-gesa bagi menggantikan UPSR dan PT3 dengan pelaksanaan PBS pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Menjelas lanjut beliau berkata pentaksiran yang bertujuan menilai aspek intelek, emosi, rohani, jasmani dan sosial murid itu adalah langkah melahirkan generasi baharu yang lebih kreatif dan terbuka.

Malah Radzi berkata sistem pendidikan di seluruh dunia kini cuba mengurangkan tumpuan kepada peperiksaan bagi tujuan melahirkan generasi lebih kreatif.

Projek hidroelektrik Nenggiri diteruskan: Takiyuddin

Pembinaan projek loji janakuasa hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang, Kelantan yang berkapasiti 300 megawatt akan diteruskan oleh anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) iaitu TNB Power Generation Sdn Bhd (TPGSB).

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kerja pembinaan stesen janakuasa itu telah dimulakan sejak 1 Mac tahun ini dan dijangka siap serta mula beroperasi pada 1 Jun 2027.

“Dengan tasik takungan utama seluas 53.84 kilometer persegi, projek ini mampu membantu kerajaan Kelantan mengurangkan kesan fenomena banjir besar yang kerap melanda negeri ini selain mengatasi isu perbekalan air bersih serta pengairan, selain membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan ketika pembinaannya dan pelbagai lagi potensi kegiatan ekonomi apabila ia siap kelak,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highlands) yang ingin tahu sama ada kementerian akan meneruskan projek pembinaan empangan hidroelektrik berkenaan serta ingin tahu sama ada pembinaannya akan menjejaskan kehidupan masyarakat Orang Asli di kawasan sekitar pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Takiyuddin berkata kerajaan tidak menafikan pembinaan empangan Nenggiri akan memberikan kesan kepada flora dan fauna serta tiga perkampungan Orang Asli iaitu Kampung Kuala Wias, Pos Pulat dan Pos Tohoi yang mempunyai 1,115 penduduk.

Kabinet kaji semula VOA pelancongan

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kabinet akan mengkaji semula pelaksanaan kemudahan ‘visa semasa ketibaan’ (VOA) bagi mengelakkan kemudahan itu disalah guna pelancong asing, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata MOTAC sentiasa menyokong pelaksanaan kemudahan itu, namun wujud masalah lain apabila pelancong asing yang mengunakan VOA tidak pulang ke negara asal selepas masuk ke negara ini.

“Misalnya, VOA digunakan oleh pelancong dari India sebelum ini, kita dapati warga asing berselerak di Brickfields hingga ada yang berniaga. Kita tak mahu perkara ini berulang lagi,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mohammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) mengenai pelaksanaan VOA untuk rakyat asing pada sesi soal jawab di Parlimen.

Koperasi ternak 2.5 juta ayam tangani isu sekuriti makanan

Sebanyak 2.5 juta ayam telah diternak menerusi penglibatan 21 koperasi berasaskan agromakanan dalam skim kontrak ternakan ayam, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Muslimin Yahaya berkata skim itu dilaksanakan dengan kerjasama syarikat integrator yang berperanan membekalkan anak ayam, dedak, makanan tambahan, ubatan dan pemeriksaan berkala tumbesaran ayam.

“Sebanyak 184 koperasi terlibat secara langsung dalam menjalankan aktiviti berkaitan agromakanan yang menyumbang kepada sekuriti makanan dengan menjana pusingan pendapatan keseluruhan sebanyak RM274,687,368.

“Koperasi berasaskan agromakanan menawarkan barangan berasaskan pertanian dan ternakan seperti ayam pedaging, ayam kampung, daging lembu dan ikan ternakan pada harga yang berpatutan melalui rangkaian kedai Coopmart, kedai runcit, pasar tani dan pasar raya,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Hatta Md Ramli (PH-Lumut) mengenai peranan koperasi berasaskan pertanian untuk membantu menangani isu sekuriti makanan.

Lebih setengah juta terima bantuan JKM dalam enam bulan pertama

Seramai 523,354 penerima telah menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membabitkan kos RM1.241 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun ini.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Siti Zailah Yusoff, daripada jumlah itu, penerima bantuan tertinggi adalah dari Sabah dengan kos RM157.4 juta, diikuti Johor (RM132.4 juta), dan Sarawak (RM125.1 juta)

“Jadi kita harapkan dengan bantuan yang disediakan oleh kerajaan, ia dapat meringankan beban kumpulan sasar yang memerlukan dan ini menunjukkan bagaimana keprihatinan kerajaan hari ini, kerajaan begitu prihatin untuk memastikan rakyat Malaysia terpelihara,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen, di sini hari Ini.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mengkhususkan RM1.772 bilion atau 71 peratus daripada RM2.5 bilion jumlah peruntukan belanja mengurus kepada bantuan kebajikan melibatkan 517,414 penerima di bawah JKM.

Berita berkaitan
Jazlan bidas Ismail Sabri dan Hasni pertikai usul tiada pertandingan jawatan Presiden
January 18, 2023· Politik
Speaker putuskan tiada kekosongan di empat kerusi bekas ahli Bersatu Sabah
January 16, 2023· Politik
Zahid akui Muhyiddin miliki majoriti awal jadi PM, 10 SD ditandatangani MP BN: Laporan
January 11, 2023· Politik
Wan Saiful bidas MP kerajaan suka melolong dalam Dewan Rakyat
December 24, 2022· Politik
Popular
Perlis juga mahu tutup premis judi
February 1, 2023
Polis siasat NST, BH kerana dakwa murid SJKC tak minat belajar BM
February 1, 2023
Anwar lantik Izzah boleh bawa kepada nepotisme, kata IDEAS
February 1, 2023
Harga petrol dan diesel tak turun dan tak naik, kekal tak berubah
February 1, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Sabah catat peningkatan mangsa banjir, Johor turun
5 jam lalu · Isu semasa
Harga petrol dan diesel tak turun dan tak naik, kekal tak berubah
5 jam lalu · Isu semasa
Anwar lantik Izzah boleh bawa kepada nepotisme, kata IDEAS
8 jam lalu · Isu semasa
Polis siasat NST, BH kerana dakwa murid SJKC tak minat belajar BM
8 jam lalu · Isu semasa
Perlis juga mahu tutup premis judi
9 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Kerajaan negeri perlu tegas, bukan takut dengan pembela peneroka haram
4 jam lalu
[VIDEO] Anwar dalam diam ‘sedekah’ jawatan pada anak sendiri
18 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok