Berita ringkas Dewan Rakyat 1 Mac 2022

Siapkan projek PLSB Sungai Golok, elak banjir kritikal

Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 1 di Kelantan perlu dipercepatkan supaya dapat mengelakkan bencana banjir yang kritikal terus berlaku di negeri itu.

Ahmad Fadhli Shaari (PAS- Pasir Mas) ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini berkata kelewatan menyiapkan projek PLSB merupakan punca utama banjir di Kelantan, lapor Bernama.

Selain itu, Ahmad Fadhli juga mencadangkan kepada kerajaan untuk memanjangkan Skim Bantuan Kerajaan Bencana Banjir Keluarga Malaysia kepada mangsa banjir yang terkesan di Selangor dan Pantai Timur.

Syor cuti khas sebulan wanita kematian suami

Kerajaan dicadangkan memberi cuti khas selama sebulan kepada wanita bekerja yang kematian suami bagi menguruskan hal keluarga.

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini berkata cadangan itu wajar memandangkan golongan wanita perlu mengambil masa untuk menguruskan anak-anak, hal berkaitan pusaka dan menenangkan diri selepas kematian suami.

“Apabila kita bincang mengenai Keluarga Malaysia, saya bawa perkara ini dan saya berharap ia dapat perhatian pihak kerajaan dan Ahli Parlimen, dengan pemberian tempoh bercuti misalnya sebulan, Insya-Allah boleh membantu golongan itu,” katanya.

Rang undang-undang keselamatan siber dijangka dibentang suku pertama 2023

Rang Undang-Undang Keselamatan Siber dijangka dibentang pada suku pertama tahun 2023, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Menurut jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini, beliau memaklumkan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) telah diluluskan peruntukan dalam Rancangan Malaysia ke-12 bagi melaksanakan kajian penggubalan rang undang-undang berkenaan.

“Kajian itu bagi memastikan satu undang-undang keselamatan siber yang menyeluruh dan komprehensif dihasilkan bagi melengkapi undang-undang sedia ada, khususnya dalam melindungi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (Critical National Information Infrastructure (CNII)),” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan) yang bertanyakan bila Akta atau Rang Undang-undang Keselamatan Siber dibentangkan di Parlimen.

7,556 pemohon PPR, PA dalam proses kelulusan

Sejumlah 10,769 permohonan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diterima setakat ini.

Menurut Kementerian Wilayah Persekutuan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat di sini hari ini, sebanyak 7,556 permohonan daripada jumlah tersebut kini dalam proses kelulusan.

“Sehingga Februari ini, bilangan rumah yang tersedia untuk permohonan khusus adalah sebanyak 77 unit melibatkan 18 buah projek,” menurut kementerian itu bagi menjawab soalan Dr Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju) yang mahu tahu mengenai berapa bilangan permohonan dalam senarai menunggu untuk rumah PPR.

PRN Johor selaras keperluan perundangan

Pelaksanaan Pilihan Raya Negeri Johor adalah selaras dengan keperluan perundangan dan Kerajaan Persekutuan tidak wajar campur tangan dalam pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini, beliau berkata keputusan Sultan Johor (Sultan Ibrahim Sultan Iskandar) dalam memperkenankan pembubaran DUN harus dihormati dan tidak dipertikaikan mana-mana pihak sebagai satu alat dan mainan politik.

“Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) juga sebagai sebuah badan bebas telah bertindak mengikut lunas-lunas Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang yang kita junjung untuk melaksanakan proses ke arah Pilihanraya DUN Negeri Johor,” katanya.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai langkah menghadapi gelombang Omicron kerana kerajaan dilihat seolah-olah kurang memberi komitmen termasuk keengganan menangguhkan PRN Johor.

Kenaikan tol terus ditangguhkan

Kerajaan akan berunding dengan syarikat konsesi tol untuk mengekalkan kadar tol yang telah diwartakan tahun lepas dan menangguhkan kenaikan kadar itu untuk tahun ini.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat memaklumkan kerajaan telah meneruskan penangguhan kenaikan tol bagi 26 lebuh raya dan melaksanakan penangguhan kenaikan kadar tol bagi tiga lebuh raya pada 1 Jan 2021.

Jelas kementerian itu, sekiranya kerajaan melaksanakan kadar tol lebih rendah daripada kadar yang dipersetujui dalam perjanjian konsesi, kerajaan perlu membayar pampasan kepada syarikat tersebut.

Kementerian itu menjawab soalan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) berkenaan status kenaikan harga tol yang ditangguhkan pada tahun 2021 dan kenaikan harga yang bakal dilaksanakan pada tahun 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR