Berita palsu polis tutup sempadan negeri semasa PRN

Polis Melaka menafikan akan menutup sempadan negeri selama 15 hari sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) seperti ditularkan menerusi media sosial.

Ketua Polis negeri Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata prosedur operasi standard (SOP) yang tular sejak petang tadi adalah palsu dengan disunting daripada SOP PRN Sabah sebelum ini dan perkara itu kini disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis Melaka masih menunggu SOP berkaitan PRN Melaka daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Orang ramai diminta tidak mudah percaya dengan penularan maklumat tidak sah di media sosial dan diminta menghubungi Bilik Gerakan Polis Melaka jika memerlukan penjelasan,” katanya lapor Bernama.

Kenyataan yang tular tersebut antaranya turut menyatakan bahawa penutupan sempadan negeri Melaka dalam tempoh 15 hari bermula sehari sebelum hari penamaan calon sehingga hari mengundi pada 20 Nov 2021 termasuk sekatan jalan raya (SJR) diaktifkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

BERITA BERKAIT
POPULAR