Bergurau kontena mayat, MB Kedah minta maaf

Selepas dikecam ekoran gurauan berhubung isu kontena mayat, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor hari ini meminta maaf atas kekhilafan tersebut dan menjelaskan tidak bermaksud sedemikian.

Sanusi berkata kenyataan tersebut diambil luar konteks dan meminta maaf jika ada pihak yang tersinggung dengan gurauan tersebut.

“Sidang media semalam tu, yang jadi top-nya (perhatian utama) gurauan saja (yang) di luar konteks sebenar.

“Oleh kerana ada pihak tersinggung dengan gurauan itu, saya memohon maaf kepada pihak yang tersinggung, dan saya ingin jelaskan saya cuma ingin bergurau dengan wartawan.

“Depa tahulah karakter saya tu, tapi dah masuk kamera (dirakam), nasib sayalah,” katanya lapor media semasa sidang media hari ini.

Sanusi menjadi bahan kecaman orang ramai khususnya dalam media sosial selepas tular klip video beliau menjawab soalan wartawan berkaitan isu Covid-19 di Kedah dan nasihatnya kepada orang ramai agar mematuhi prosedur operasi standard kerana hospital di negeri itu sudah penuh.

Ditanya sama ada tempat menyimpan mayat pesakit Covid-19 mencukupi atau tidak, Sanusi menjawab: “Kontena jenazah mencukupi, siapa nak masuk sila bagi nama.”

Reaksi spontan itu kemudian mengundang kecaman pelbagai pihak sama ada kalangan ahli politik atau pakar kesihatan awam kerana dianggap tidak sensitif dengan situasi semasa.

BERITA BERKAIT
POPULAR