Berganding bahu wujudkan persekitaran selamat di sekolah

Sebanyak 160 kluster pendidikan direkodkan dan sebanyak 14 sekolah ditutup dalam tempoh 1 Januari hingga 2 Februari 2022.

Lonjakan kluster pendidikan yang  semakin parah ini mencetus kebimbangan dalam kalangan ibu bapa apabila mereka dilihat kurang yakin untuk menghantar anak-anak ke sekolah ketika ini.

Sebahagian daripada mereka mendakwa tiada tindakan pro­aktif daripada pihak-pihak tertentu bagi membendung penularan Covid-19 menyebabkan kes jangkitan semakin bertambah.

Bagaimanapun sikap me­nunding jari segelintir masyarakat yang sering menyalahkan pihak lain terutama sekolah dalam isu peningkatan kluster pendidikan bukan jalan penyelesaian.

Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Malina Osman berkata, pencegahan penyakit memerlukan komitmen setiap individu sama ada pihak berkepentingan atau masyarakat itu sendiri.

“Pihak berwajib selaku pembuat polisi dan penguat kuasa, masyarakat pula yang melaksanakan tanggungjawab di peringkat individu serta semua agensi perlu berkolaborasi antara satu sama lain.

“Kesilapan paling besar kini apabila masyarakat masih tidak mampu mengambil tanggungjawab ke atas kesihatan diri mereka sendiri sebaliknya mele­takkan tanggungjawab itu kepada pihak berwajib semata-mata,” katanya.

Tambah Dr. Malina, semua pihak perlu saling mengingatkan antara satu sama lain untuk terus patuh kepada prosedur operasi stan­dard (SOP) mengekang penularan Covid-19.

“Jangan suka-suka langgar SOP, ambil vaksin dan pastikan membuat ujian saringan jika terdedah kepada risiko jangkitan.

“Pihak berwajib pula perlu meneruskan pemantauan serta pe­nguatkuasaan undang-undang,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau me­nyarankan semua pihak berganding bahu dalam mewujudkan persekitaran yang selamat untuk pelajar kembali bersekolah.

“Pengambilan vaksin adalah langkah paling baik untuk mengelakkan jangkitan yang boleh menyumbang kepada kluster pendidikan. Ambil inisiatif daftar anak-anak lima hingga 11 tahun untuk mendapatkan perlindu­ngan.

“Pergantungan kepada SOP biasanya tidak dapat bertahan dalam tempoh berpanjangan,” ujarnya.

BERITA BERKAIT
POPULAR