Bentang kertas putih skandal kapal tempur tak siap, duit rakyat lesap

August 9, 2022 · Isu semasa

Kerajaan perlu membentangkan kertas putih berhubung skandal projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia, selain melakukan siasatan menyeluruh dan terperinci.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Maran, Datuk Jasri Jamaludin berkata usul tergempar perlu dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat kerana skandal ini melibatkan penipuan berbilion ringgit wang rakyat.

“Bukan sahaja penyelewengan berlaku tetapi skandal ini juga memberi gambaran yang tidak baik kepada Sultan Perak yang melancarkan kapal separa siap pada 2017 lalu.

“Kita juga tidak jelas dengan jalan penyelesaian kepada skandal ini. Kenyataan terbaru Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein kapal akan diserahkan dalam masa satu hingga dua tahun bercanggah kerana kapal berlainan yang disebut.

“Saya berpandangan usul tergempar di Dewan Rakyat harus dibentangkan termasuk kertas putih berkaitan penyelewengan ini.

“Rakyat berhak tahu perkara sebenar terutama melibatkan wang rakyat dan kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan di Kuantan, hari ini.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan laporan setebal 247 muka surat berhubung LCS dan antaranya terma-terma kontrak adalah lemah dan tidak memihak kepada kerajaan apabila pembayaran projek LCS berdasarkan kemajuan aktiviti atau pembekalan item dan bukan berdasarkan kemajuan sebenar.

Menurut laporan itu, pandangan TLDM selaku pengguna akhir tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dalam pelaksanaan projek LCS.

Untuk rekod, perolehan LCS itu telah diluluskan oleh Putrajaya pada awal 2011 ketika pemerintahan Barisan Nasional dan UMNO. Pada akhir 2011, kontrak RM9 bilion telah diberikan kepada BNS.

Kontrak itu berkuat kuasa pada 3 Oktober 2013, selama 10 tahun dan akan tamat pada 2 Oktober tahun depan.

Lima daripada enam kapal itu sepatutnya diserahkan bulan ini, kata PAC pada Khamis, 4 Ogos lalu. LCS adalah kapal yang lebih kecil yang umumnya direka untuk operasi berhampiran pantai.

Tetapi, tiada satu pun daripada enam kapal yang ditempah TLDM telah dihantar oleh kontraktor tempatan BNS, sedangkan kerajaan BN dan UMNO telah membayar lebih RM6 bilion.

Pada asalnya, reka bentuk kapal jenis Sigma pilihan TLDM telah dipersetujui oleh Menteri Pertahanan. Keputusan tersebut telah berubah kepada reka bentuk kapal jenis Gowind pada 11 Julai 2011 atas cadangan BNS yang dibawa kepada Menteri Pertahanan ketika itu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 8 Julai 2011.

Laporan itu juga memetik kenyataan Panglima TLDM ketika itu, Laksamana Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar, yang berkata keputusan tersebut adalah sesuatu yang tidak kena.

Mengulas lanjut, Jasri berkata setelah membaca rumusan PAC, beliau percaya rakyat tidak dapat menerima skandal perolehan yang merosakan perancangan TLDM serta rancangan menjaga kedaulatan negara juga terancam.

“Ketirisan yang berlaku sudah tentu memberi gambaran buruk kepada negara terutama setelah skandal kewangan terburuk di dunia 1MDB yang merosakan imej negara.

“Jumlah RM6.083 bilion bukan sikit dan sehingga kini satu pun kapal masih tidak diserahkan kepada pihak TLDM. Kemanakah wang berbilion ini hilang? Bagaimanapun perolehan ini perlu diteruskan kerana ia kritikal demi memelihara kedaulatan dan keselamatan negara,” katanya.

Berita berkaitan
Peguam Bersatu dakwa PMX sasarkan MP Putrajaya secara sistematik selepas dikecam
September 25, 2023· Politik
Permohonan akan dibuat untuk ketepikan tiga pertuduhan, kata peguam Muhyiddin
September 19, 2023· Politik
Isu kerakyatan warga China, kenapa DAP nak melenting pula? soal Razali
August 31, 2023· Politik
Empat MP Sabah melompat, AGC bantah permohonan Bersatu supaya kerusi dikosongkan
August 30, 2023· Politik
Popular
Hassan pertahan pendedahan bekalan barang terputus kerana ia adalah fakta
September 26, 2023
Jangan gopoh, kata Mat Sabu ulas gesaan halang warga asing beli beras
September 26, 2023
Kumpulan peguam persoal PH dan PMX membisu hukuman penjara Wan Ji
September 26, 2023
Perbicaraan Ebit Liew: Saksi beritahu pemacu pena ada bahan berunsur lucah
September 26, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Hassan pertahan pendedahan bekalan barang terputus kerana ia adalah fakta
16 jam lalu · Isu semasa
Bunuh teman wanita: Bekas pemandu bas terlepas hukuman gantung, dipenjara 40 tahun
16 jam lalu · Isu semasa
Perbicaraan Ebit Liew: Saksi beritahu pemacu pena ada bahan berunsur lucah
16 jam lalu · Isu semasa
Jangan gopoh, kata Mat Sabu ulas gesaan halang warga asing beli beras
22 jam lalu · Isu semasa
Permohonan lelaki bunuh kekasih hamil dirujuk psikiatri ditolak mahkamah
22 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Rakyat jangan emosi warga asing beli barangan subsidi, isu sengaja diperbesarkan
15 jam lalu
[VIDEO] Saya bukan saintis, boleh belajar proses REE dari Lynas, kata menteri
19 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok