
Buli siber adalah satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyebaran atau perkongsian kandungan yang sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya. -Gambar hiasan
BENCANA banjir dahsyat yang berlaku beberapa hari lalu memperlihatkan ribuan penduduk di sekitar Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan kehilangan tempat tinggal dalam sekelip mata selepas rumah mereka ditenggelami air sehingga ke paras bumbung.
Lebih memilukan, ada antara mangsa yang terpaksa menunggu selama sehari sebelum diselamatkan oleh orang awam dan pihak berkuasa.
Ketika itu, muncul persoalan dalam kalangan warganet mengenai kesiapsiagaan dan kebertanggungjawaban pasukan penyelamat seperti bomba, tentera, polis dan pertahanan awam dalam menyelamatkan mangsa-mangsa yang terkandas atau terperangkap di lokasi banjir.
Ramai yang muat naik dalam status media sosial masing-masing tanpa mengambil kira perasaan pasukan penyelamat yang sanggup meninggalkan keluarga masing-masing dan membahayakan nyawa demi tuntutan tugas mereka menyelamatkan mangsa banjir.
Hakikatnya, orang ramai terlalu mudah untuk menulis dalam media sosial mengalahkan lidah untuk berbicara. Juga terlalu mudah mengarang ayat berbanding menyusun perkataan untuk berkata-kata.
Dalam satu kajian lain, mengklasifikasikan Malaysia sebagai salah satu negara paling konservatif secara moral di dunia, namun masyarakat negara ini boleh menjadi pembuli yang kejam dalam alam siber.
Golongan ini digelar ‘keyboard warrior’, bersikap lantang ketika jari ‘mengetuk’ papan kekunci bagi menyampaikan pendapat dan hujah sehingga mengetepikan rasional serta adab yang membawa implikasi buruk.
Mereka turut mewujudkan beberapa istilah seperti ‘tentera bawang’ yang kononnya untuk memperjuangkan perkara yang mereka anggap betul, sedangkan tindakan itu sendiri tidak mencerminkan situasi sebenar.
Masyarakat juga harus faham, buli siber adalah satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyebaran atau perkongsian kandungan yang sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya.
Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr. Hanafiah Bashirun berkata, perkara ini tidak harus dijadikan satu budaya kerana akan memberi impak negatif kepada masyarakat umum.
“Kita seharusnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan perkataan kerana boleh menyakitkan hati seseorang selain merosakkan hubungan antara satu sama lain.
“Saya berharap perkara ini tidak dijadikan budaya kerana bimbang akan menjadi ikutan selain menyebarkan perkara yang tidak dipastikan. Seharusnya, kita lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang perkataan,” katanya.