
Bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak yang menjalani hukuman 12 tahun penjara di Kajang kini ditempatkan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) untuk rawatan dan pemantauan lanjutan.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta memberi penjelasan lanjut berhubung dakwaan kononnya sebanyak RM3.5 juta diperuntukkan bagi urusan penempatan Datuk Seri Najib Razak di penjara.
Naib Ketua Pemuda AMANAH Muhamad Fadzil Ahamad berkata tular di media sosial sejak beberapa hari lalu, KDN memperuntukkan sebanyak RM50,000 sebagai kos ubah suai bilik, selain RM3.5 juta bagi urusan meliputi kenderaan, kesihatan dan penempatan Najib.
Bekas Perdana Menteri yang dirujuk sebagai ‘Merpati’ itu kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang setelah gagal dalam rayuan terakhir berkaitan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).
Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman, termasuk denda RM210 juta terhadap Najib yang dikenakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram RM42 juta dana SRC.
Pada 4 September lalu, bekas Presiden UMNO yang masih berdepan banyak lagi tuduhan jenayah yang dilakukan ketika menjadi Perdana Menteri ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan UMNO, dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), untuk rawatan.
Bagaimanapun, Jabatan Penjara Malaysia dalam kenyataan hari ini (21 September) memaklumkan pada 19 September 2022, pihak HKL telah merujuk Najib ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) untuk rawatan dan pemantauan lanjutan sehingga kini.
“Dato’ Sri Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara sebaik sahaja pihak pakar perubatan HRC atau HKL memberikan pelepasan perubatan ke atas beliau,” kata jabatan itu.
Mengulas lanjut, Muhamad Fadzil berkata kenyataan jabatan berkenaan seakan mengesahkan butir-butir peristiwa yang tular antara lain, dakwaan penglibatan Menteri Dalam Negeri yang menemuni Najib sebelum ini.
“Kenyataan pihak Jabatan Penjara Malaysia tersebut juga (merujuk kepada Najib) untuk menyediakan peruntukan sebanyak RM50 ribu bagi kos ubahsuai bilik dan selanjutnya peruntukan sebanyak RM3.5 juta lagi bagi urusan ‘Merpati’ tersebut meliputi kenderaan, kesihatan dan penempatan.
“Justeru, kami mendesak agar Menteri Dalam Negeri tampil memberikan penjelasan lanjut berhubung dakwaan-dakwaan lain yang tular seperti dinyatakan di atas, dan apakah benar peruntukan sebanyak RM3.5 juta tersebut telah disediakan oleh pihak KDN untuk urusan Najib di penjara?,” katanya.