
Belum ada laporan mengatakan rakyat Malaysia turut terbabit dalam gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria hari ini (6 Februari 2023).
Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, Turkiye, belum menerima laporan membabitkan rakyat negara ini yang terjejas akibat gempa bumi berhampiran bandar Kahramanmaras di selatan negara itu, hari ini (6 Februari 2023).
Wisma Putra dalam satu kenyataan ringkas menyebut, ketika ini, pihak kedutaan dan Pejabat Konsul Jeneral di Istanbul sedang berhubung dengan pihak berkuasa tempatan di negara itu untuk mendapatkan maklumat terkini.
“Setakat ini, pejabat perwakilan kita masih belum menerima sebarang laporan mengenai rakyat Malaysia terbabit dalam gempa bumi berkenaan,” katanya.
Pada masa sama, Wisma Putra memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Ankara boleh dihubungi melalui talian +(90) 312 4463547/ 48 atau di talian +(90) 534 4571006 (selepas waktu pejabat).
Ia juga boleh dihubungi melalui e-mel [email protected].
Selain itu, Pejabat Konsul Jeneral di Istanbul boleh dihubungi melalui talian +(90) 212 9891001/ 09 atau +(90) 551 7112174 (selepas waktu pejabat) serta melalui e-mel [email protected].
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan, gempa bumi dengan kekuatan magnitud 7.9 menggegarkan selatan Turkiye, dan Syria hari ini, meragut ratusan nyawa penduduk yang ketika itu sedang tidur.
Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan, gempa bumi berlaku pada jam 4.17 pagi waktu tempatan dan berpusat di daerah Pazarcik.
Gegaran yang menyebabkan puluhan bangunan runtuh. Gegaran turut dirasai di wilayah lain, termasuk Diyarbakir dan Gaziantep serta negara jiran, termasuk Lubnan, Cyprus dan Mesir.