Bella gebu, berisi ketika diserah kepada Rumah Bonda: Saksi

Rakan baik kepada pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa beliau hanya mengenali remaja perempuan Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella sekitar Julai 2020, pada hari pertama Bella diserahkan kepada Siti Bainun di rumah perlindungan itu.

Pembantu pengurus syarikat Zurianty Sudin, 39, yang berkhidmat sebagai sukarelawan di Rumah Bonda antara 2015 dan 2019 menggambarkan Bella sebagai seorang yang gebu dan berisi ketika pertama kali berjumpanya pada 14 Julai 2020.

Bagaimanapun, ketika ditanya peguam Nur A’minahtul Mardiah Md Nor yang mewakili Siti Bainun mengenai beberapa sejarah kehidupan Bella seperti sewaktu pertama kali Bella dijumpai di bawah jambatan ketika berusia empat tahun di Seri Petaling dan seterusnya dijaga oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, saksi itu menjawab ‘tidak tahu’.

Saksi itu berkata demikian ketika disoal balas Nur A’minahtul pada hari kedua perbicaraan kes Siti Bainun yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindorm Down berusia 13 tahun itu.

Menjawab soalan peguam itu, saksi pendakwaan pertama tersebut bersetuju bahawa Bella yang merupakan Orang Kurang Upaya tidak dapat membezakan antara kertas dan baju, pernah mencarut dan memukul kepala bayi selain mengutip gula-gula dan memakannya.

Zurianty turut menafikan cadangan peguam bahawa beliau seorang yang kerap ‘memutar cerita’ dan juga berbohong di mahkamah.

Nur A’minahtul kemudian merujuk kepada rakaman percakapan saksi mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah) antara Zurianty dan seorang ibu kepada seorang anak angkat tertuduh, yang saksi itu mendakwa Siti Bainun ingin menyalahkan tiga anak angkatnya yang lain atas kejadian yang menimpa Bella.

Zurianty tidak setuju dengan cadangan peguam bahawa beliau sendiri yang mengeluarkan kenyataan tersebut untuk mempengaruhi ibu kepada anak angkat Siti Bainun.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok.

BERITA BERKAIT
POPULAR