Belajar hidup dengan Covid-19

Endemik adalah keadaan virus akan terus wujud dalam masyarakat dan tempat. Justeru, kita perlu untuk hidup dengannya.

Selagi virus masih wujud, juga ini bermakna prosedur operasi standard (SOP) seperti pema­kaian pelitup muka dan penjarakan fizikal di tempat awam serta sentiasa membersihkan tangan adalah sangat penting untuk kita amalkan.

Walaupun adanya vaksin yang dapat mengurangkan penyebaran Covid-19 serta kemasukan pesakit ke dalam wad dan kematian, kita masih terikat dengan SOP.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar baru-baru ini menjelaskan, peralihan kepada fasa endemik yang disasarkan dapat dimulakan akhir bulan ini bukanlah tindakan mengalah, sebaliknya bersifat mengadaptasi diri.

Beliau berkata, dengan adanya varian Delta, saintis seluruh dunia mengatakan bahawa untuk mencapai imuniti kelompok agak sukar disebabkan kemunculan varian baharu.

“Sebab itulah kita (Malaysia) terima hakikat bahawa mungkin pengakhirannya adalah peringkat endemik,” katanya.

Menurut Khairy, perkara itu bagaimanapun bergantung kepada tingkah laku masyarakat dalam tempoh dua bulan ini sambil mengingatkan rakyat supaya terus mematuhi SOP.

Sementara itu, Pakar kesihatan awam, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Dzulkhairi Mohd. Rani bagaimanapun berpandangan bahawa perlu lebih banyak ruang untuk penambahbaikan dalam menyediakan masyarakat ke arah fasa endemik.

“Ini termasuk meningkatkan kefahaman masyarakat tentang cara jangkitan dan kawalan pe­nyakit.

“Pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan pendidikan serta kebenaran rentas negeri menunjukkan keyakinan positif bahawa kerajaan bersedia ke arah fasa endemik

“Dalam persediaan kita memasuki fasa itu, lebih banyak promosi pendidikan kesihatan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat terutamanya ke­perluan melakukan ujian kendiri dan kaedah-kaedah pencegahan penyakit Covid-19 perlu diadakan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR