Bekas tentera, isteri dan anak tinggal bawah jambatan dipindah ke flat

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memindahkan tujuh sekeluarga yang tinggal di bawah Jambatan Loke Yew ke rumah transit sementara di Flat Seri Johor, kata Menterinya, Datuk Seri Rina Harun.

Katanya keluarga terbabit akan tinggal di flat berkenaan sementara KPWKM berurusan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta agensi kerajaan lain.

“Ia adalah bagi memberikan kediaman lebih baik dan di samping anak-anak diberikan bantuan kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Melihat kepada keadaan rumah, saya tidak sangka ada yang hidup daif di bandar raya Kuala Lumpur dan ia bukan di pedalaman,” katanya selepas mengadakan lawatan di tempat tinggal bekas tentera, Suria Mohamad Hassan, 59.

Suria dan isteri, Azariyah Abd Aziz, 43, dan lima anaknya yang berusia tiga hingga 14 tahun, menghuni rumah sempit berdindingkan papan lapis tanpa bumbung di bawah jambatan berkenaan, kerana tidak mampu menyewa rumah sejak November 2019.

Sambil menjelaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan kebajikan kanak-kanak yang masih bersekolah, beliau berkata JKM akan memberi bantuan segera

“Kita tidak mahu Suria dan isterinya berputus asa tetapi pada masa sama, kemiskinan ini tidak diwarisi, berharap masa anak-anak lebih cerah,” katanya.

Dalam pada itu, Rina akan mengarahkan JKM menyalurkan bantuan dan sokongan psikologi kepada keluarga berkenaan.

BERITA BERKAIT
POPULAR