Bekas Setiausaha Sulit Najib dedah arahan berhubung audit 1MDB

Tan Sri Shukry Mohd Salleh yang juga bekas Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat pendedahan berhubung arahan yang diterimanya melibatkan laporan Jabatan Audit Negara (JAN) dalam laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Shukry semasa memberi keterangan saksi hari ini memberitahu arahan itu diberikan kepadanya dalam satu pertemuan pada 26 Februari 2016.

Najib memberi arahan itu agar pihak pembangkang ketika itu tidak boleh menggunakan isu tersebut dalam kritikan mereka, kata Shukry dalam perbicaraan kes pinda laporan audit 1MDB hari ini.

“Pada 26 Februari 2016, saya jumpa Najib di pejabatnya dan Najib arahkan saya, lebih kurang, (kata) macam ini, ‘Shukry, anda beritahu audit agar isu sensitif dan tak relevan seperti Jho Low dalam 1MDB tak dimasukkan dalam laporan’.

“‘Jika pembangkang dapat tahu perkara ini, ia boleh jadi isu’,” katanya ketika memberi keterangan saksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menurut laporan Malaysiakini.

Shukry juga mendakwa dia kemudian menghubungi bekas pengarah JAN ketika itu, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad untuk menyampaikan arahan Najib.

Najib dituduh menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan terhadap laporan audit akhir 1MDB sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, untuk mengelakkan tindakan terhadapnya.

Shukry bersama bekas CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali jumlah suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan menyatakan keputusan untuk meminda laporan itu dibuat dalam mesyuarat di pejabat Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Tan Sri Ali Hamsa pada 24 Februari 2016.

Arahan tersebut melibatkan bahagian tertentu laporan audit 1MDB yang diubah atau dipadam, termasuk isu kehadiran Jho Low dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah.

BERITA BERKAIT
POPULAR