Bekas pesakit Covid-19 perlukan pemakanan sihat

Pemakanan yang baik dan gaya hidup sihat adalah sangat penting semasa proses pemulihan selepas sembuh daripada jangkitan Covid-19 kerana badan memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya dengan baik.

Pemakanan sihat dengan seimbang dan pelbagai amatlah penting bagi mendapatkan kembali nutrien yang diperlukan badan bagi proses pemulihan ini.

Menurut Pakar Pemakanan, Pantai Hospital Sungai Petani, Norhayati Samsuddin , ramai yang beranggapan bahawa rawatan Covid-19 tamat selepas sahaja seseorang itu mendapat keputusan negatif bagi virus tersebut.

Menurut Norhayati, setiap pesakit mempunyai kadar pemulihan berbeza dan mengalami simptom yang berlainan dalam tempoh selepas Covid-19.

Justeru perkara penting yang perlu diberi tumpuan adalah mengutamakan gaya hidup aktif dan sihat.

Norhayati memberitahu, ramai juga bekas pesakit yang mengalami kehilangan berat badan yang drastik atas sebab tempoh intubasi yang lama atau stres metabolik yang dialami oleh badan anda selama melawan jangkitan virus.

Oleh itu, pentingnya untuk kita memakan makanan daripada diet yang seimbang dan tidak mengikuti pantang larang yang tidak berasaskan sebab saintifik yang boleh menjadikan keadaan sedia ada lebih teruk.

“Orang ramai boleh menggabungkan kepelbagaian makanan dalam diet dari sumber karbohidrat, protein, lemak sihat dan serat dapat mempercepatkan impak kesembuhan optimum daripada jangkitan Covid-19. Ini kerana setiap kumpulan makanan mempunyai nutrisi yang tersendiri yang penting bagi fungsi badan yang optimum.

“Jadikan piramid makanan Malaysia 2020 yang terkini sebagai bahan rujukan. Selain itu, penggunaan konsep pinggan sihat Malaysia ‘suku-suku separuh’ boleh diterapkan bagi memastikan btelah mengambil nutrisi yang disarankan,” katanya.

Selain pengambilan vaksin, Norhayati memberitahu terdapat tips pemakanan lain untuk meningkatkan imun badan.

Misalnya, vitamin berperanan menjaga sel-sel imun agar dapat berfungsi dengan baik. Jenis vitamin yang diperlukan adalah vitamin A, C, E dan B kompleks.

“Proses pembentukan sistem imun yang kuat juga memerlukan mineral seperti selenium, zink dan zat besi.

“Dengan menambahkan jenis-jenis makanan tinggi vitamin dan mineral, maka dapat meningkatkan lagi imum badan di samping memakan makanan yang seimbang. Pengambilan suplemen juga boleh membantu peningkatan imum, namun haruslah meminta nasihat daripada doktor, pakar pemakanan atau ahli farmasi terlebih dahulu,” katanya.

Tambah Norhayati, air kosong juga amat penting semasa rawatan jangkitan Covid-19. Ini kerana simptom ketara yang dialami pesakit adalah muntah-muntah atau cirit-birit.

“Kedua-dua simptom ini boleh menyebabkan dihidrasi akibat kehilangan cecair badan dalam keadaan drastik. Oleh yang demikian, penggantian cecair dalam badan hendaklah dibuat dengan meminum sekurang kurangnya lapan gelas air kosong sehari. Kekurangan air boleh menyebabkan sel dalam badan tidak boleh berfungsi dengan baik.

“Tetapi bukan semua pesakit boleh mendapat manfaat daripada meminum air dengan banyak, sebagai contoh, pesakit Covid-19 yang juga menghidapi masalah buah pinggang atau pengumpulan cecair dalam paru-paru, perlu menghadkan jumlah cecair yang diambil dalam sehari. Mereka hanya boleh mengambil kuantiti cecair yang dinasihatkan oleh doktor, ahli farmasi atau pakar pemakanan sahaja,” jelasnya.

BERITA BERKAIT
POPULAR