
Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan membicarakan rayuan terakhir Datuk Seri Najib Razak berhubung sabitan dan hukuman dikenakan dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Seorang bekas pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memuji ketegasan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat semasa mengekalkan sabitan hukuman penjara terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Bekas pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK), Datuk Bahri Mohammad Zin menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Najib semalam membuktikan sistem kehakiman negara telus walaupun timbul tanggapan umum kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) cuba melindungi pesalah jenayah.
“Kerajaan kita diketuai pemimpin daripada BN yang berjaya menutup terus tanggapan kononnya ada campur tangan kerajaan dalam kes itu, sekali gus melambangkan sistem kehakiman kita benar-benar bebas walaupun membabitkan kes berprofil tinggi dan sensitif seperti ini.
“Saya menyambut baik ketegasan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam mengekalkan sabitan terhadap kes SRC,” katanya dipetik laporan BH.
Bahri memainkan peranan utama sebelum ini dalam siasatan kes SRC International Sdn Bhd pada 2015 sebelum ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Beliau yang memegang jawatan Pengarah BOK Khas sejak 16 Jun 2014 bersara awal berkuat kuasa 30 Disember 2016 berikutan keengganan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk mengeluarkan izin mendakwa ke atas sasaran kes berkenaan.
Bagaimanapun, Bahri kembali kepada SPRM pada Mei 2018 bagi membantu menyambung semula penyiasatan kertas siasatan kes SRC sehingga membawa kepada pendakwaan Najib di mahkamah.
Pada masa sama, mengimbau kembali pengalaman siasatan kes SRC itu, Bahri berkata, paling tidak boleh dilupakannya apabila pasukannya difitnah, diugut dan ditawarkan habuan bagi menghentikan tugasan mereka.
“Paling tidak boleh saya lupakan ialah apabila Timbalan Pendakwa Raya SPRM dan beberapa pegawai BOK ditahan sebelum difitnah.
“Saya pernah berasa ‘keseorangan’ ketika anak buah saya dianiaya dan saya sendiri ditukarkan ke JPM ketika itu,” katanya.
Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC.
Susulan itu, Ahli Parlimen Pekan itu dibawa ke Penjara Kajang, petang semalam, bagi menjalani hukuman terbabit.