Bekas pembantu Rosmah dalang sebenar, kata peguam bela isteri Najib

Bekas pembantu Datin Seri Rosmah Mansor didakwa dalang sebenar bersabit kes rasuah projek tenaga solar hibrid, kata peguam belanya di Mahkamah Tinggi hari ini.

Datuk Rizal Mansor yang bekerja dengan Rosmah sebelum ini didakwa meminta dan menerima wang rasuah tanpa pengetahuan atau persetujuannya, kata peguam bela, Datuk Akberdin Abdul Kadir.

“Pembelaan tertuduh adalah bahawa pertuduhan ke atas Rosmah adalah suatu pendakwaan terpilih, berniat jahat dan mala fide, sedangkan sebenarnya Rizal Mansor (SP21 atau saksi pendakwaan ke-21) adalah individu yang bertanggungjawab dan dalang di dalam kes ini.

“Justeru, tindakan pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan terhadap Rizal dan memilih dia sebagai saksi, jelas menunjukkan bahawa pendakwaan membuat perjanjian dengan Rizal.

“Rizal kini sebagai sebagai saksi utama, terpaksa memberi keterangan palsu di mahkamah untuk memerangkap dan mengaitkan tertuduh dengan tiga pertuduhan,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.

Rizal juga didakwa membuat tuduhan palsu terhadap Rosmah dan bekerjsama dengan pihak pendakwaan kerana bimbang turut akan dihadapkan ke muka pengadilan.

“Hal ini menunjukkan pihak pendakwaan mempunyai niat jahat terhadap tertuduh, biarpun dakwaan terhadap Rosmah adalah tidak berasas,” katanya ketika membacakan pernyataan pembukaan pembelaan.

Hari ini adalah hari pertama pembelaan kes rasuah terhadap Rosmah yang melibatkan projek bernilai RM1.25 bilion yang bertujuan memberi manfaat kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Ketika membaca pernyataan pembelaannya, Akberdin berkata bahawa anak guamnya (Rosmah) tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan sebarang projek kerajaan kerana dia hanyalah isteri Datuk Seri Najib Razak ketika itu.

Peguam tersebut mendakwa bahawa tuduhan yang terdapat dalam ketiga-tiga tuduhan terhadapnya sangat tidak masuk akal dan tidak berasas.

Rosmah, 69, dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin berkaitan projek tenaga solar itu menerusi Rizal.

Habuan tersebut sebagai balasan kerana membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada kementerian pendidikan secara rundingan terus.

Rosmah dituduh melakukan kesalahan itu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di Kuala Lumpur; di kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta serta di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

Pada 18 Februari lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas kesemua tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid itu dan beliau dijadual membela diri, hari ini.

Mahkamah Tinggi pada 24 September lalu turut menolak permohonannya untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengendalikan kesnya sebagai ketua pendakwaan.

Rosmah kemudian memohon perbicaraannya ditangguhkan sementara menunggu rayuan beliau terhadap keputusan Hakim Mohamed Zaini yang menolak permohonannya untuk membatalkan perbicaraan kes itu, dilupuskan.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan, semalam, menolak rayuan pada saat-saat akhir untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuahnya, hari ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR