Bekas Naib Presiden Warisan lantik peguam baharu dalam kes dokumen palsu

Peguam baharu dilantik bekas Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony untuk mewakilinya dalam kes membabitkan dokumen palsu berhubung kontrak penyelenggaraan sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika prosiding sambung bicara bela diri di hadapan Hakim Azura Alwi.

Wan Shaharuddin berkata, pihak pembelaan bersetuju kehadiran bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah pada prosiding hari ini dikecualikan dengan alasan pihak pembelaan memohon untuk melapangkan tarikh perbicaraan.

“Tertuduh baru melantik peguam S Devanandan dan Datuk D Senthinathan untuk bertindak bagi pihaknya,” katanya.

Sebelum ini, peguam Munawar Kabir Mohd Zainal Abidin bertindak mewakili tertuduh.

Sehubungan itu, perbicaraan kes berkenaan hari ini dilapangkan.

Wan Shaharuddin berkata, pihaknya belum menerima pernyataan pembelaan sebagaimana dijanjikan dalam prosiding terdahulu.

Mendengar perkara itu, Devanandan berkata, pihaknya memberi akujanji akan menyerahkannya dalam tempoh seminggu kerana belum bertemu Anthony dan perlu mendapatkan arahan daripada anak guam terlebih dahulu.

Wan Shaharuddin turut memohon pembelaan menyerahkan pernyataan saksi seminggu sebelum prosiding.

Mahkamah menetapkan 9, 10, 16, 17 dan 18 Februari depan untuk perbicaraan kes.

Mengikut pertuduhan, Anthony, 50, didakwa melakukan pemalsuan kepada surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat itu dengan niat untuk menipu.

Kesalahan didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, tingkat lima, bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Anthony didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

BERITA BERKAIT
POPULAR