Bekas KSN meninggal dunia

Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Ali Hamsa meninggal dunia hari ini pada usia 66 tahun di Hospital Dublin, Ireland. Berita itu disahkan KSN Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan pagi tadi.

Beliau mewakili seluruh warga perkhidmatan awam Malaysia turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Mewakili seluruh warga Perkhidmatan Awam Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Tan Sri Dr Ali Hamsa yang telah kembali ke rahmatullah pada hari ini, 21 April 2022 bersamaan 19 Ramadan 1443H di Hospital Dublin, Ireland,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Allahyarham Ali merupakan anak jati Johor serta dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara ke-13, menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1981 dan telah berkhidmat dalam pelbagai jabatan serta kementerian.

Allahyarham yang dilahirkan di Kluang, Johor pada 29 Ogos 1958 memegang jawatan KSN dari tahun 2012 hingga 2018.

Sebelum dilantik sebagai KSN, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian juga sebagai Ketua Penolong Pengarah/ Ketua Unit Perkapalan di Kementerian Pengangkutan.

Allahyarham dilantik sebagai KSN pada 19 Jun 2012 menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang tamat kontrak perkhidmatan pada 23 Jun 2012.

Allahyarham berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Ekonomi serta Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Environmental Science & Economics dari Oklahoma State University, Amerika Syarikat dalam bidang Ekonomi Persekitaran.

BERITA BERKAIT
POPULAR