
Bekas isteri ahli perniagaan Datuk SM Faisal SM Nasimuddin, Emilia Hanafi, bertemu rakan-rakannya ketika menyerah diri di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur sebelum ini.
Bekas isteri ahli perniagaan Datuk SM Faisal SM Nasimuddin, Emilia Hanafi, akan menjalani hukuman penjara tujuh hari kerana gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Syariah mengenai tarikh lawatan tiga anaknya.
Hukuman itu dijatuhkan selepas dia menyerah diri ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, jari ini.
Menurut peguamnya, Nazri Yahya, Emilia akan menjalani hukuman bermula hari ini di Penjara Wanita Kajang.
Memetik laporan NST, Emilia, 43, yang memakai jubah putih, tiba di mahkamah Syariah pada jam 10 pagi, ditemani ahli keluarga, rakan dan penyokongnya.
Ketika ditemui pemberita di perkarangan mahkamah, Emilia berkata:
“Semoga kes saya menjadi contoh supaya saya mendapat keadilan yang sewajarnya dan (ada) pihak yang boleh membantu untuk meneliti kes saya di Mahkamah Syariah.”
Pada 4 September 2019, Mahkamah Tinggi Syariah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari kepada Emilia kerana menjadualkan semula tarikh lawatan secara sebelah pihak untuk anak-anaknya bersama bapa mereka SM Faisal.
Bagaimanapun, dia diikat jamin RM5,000 sementara menunggu rayuannya.
Pada 15 Jun, Emilia memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar bidang kuasa Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.
Emilia dan SM Faisal, yang mempunyai tiga anak – Fawwaz, Faiz dan Farhan – bercerai pada 2016 dengan Emilia mengekalkan hak penjagaan penuh anak-anak mereka dan Faisal diberi hak lawatan.