Bekas exco UMNO kerajaan Johor dilucut hak harta

Mahkamah Tinggi, di sini hari ini membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melucut hak ke atas harta bernilai lebih RM6 juta milik bekas exco Kerajaan Johor Datuk Abdul Latif Bandi, anak dan menantunya.

Abdul Latif sebelum ini merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau yang menang pilihan raya atas tiket UMNO-Barisan Nasional (BN).

Harta berkenaan membabitkan 19 kereta mewah termasuk Mercedes Benz G63 AMG, Bentley Continental GT Coupe, Land Rover Proversport, Porsche Cayenne, Nissan Skyline dan Toyota Vellfire serta Honda HRV, menurut laporan Bernama.

Selain itu, terdapat 16 jam tangan mewah, 15 beg tangan mewah, 15 item barangan kemas, selain mata wang Singapura, Hong Kong, Kuwait, Korea dan Jepun.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membenarkan rayuan SPRM, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen pada 27 Mei 2019, yang menolak permohonan pihak pendakwaan dan memerintahkan semua harta disita, dikembalikan kepada pemilik berdaftar.

Abu Bakar ketika membacakan penghakimannya berkata keputusan itu dibuat selepas mahkamah meneliti semua rekod rayuan serta memperhalusi hujahan lisan serta bertulis semua pihak.

“Hakim Mahkamah Sesyen dalam penghakimannya terkhilaf apabila gagal menimbangkan permohonan di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM, menjurus kepada harta-harta yang disita dan bukannya keperluan pendakwaan terhadap responden,” katanya.

Beliau berkata mahkamah juga berpendapat harta-harta dalam rayuan ini tidak berkaitan dengan pertuduhan jenayah terhadap Datuk Abd Latif Bandi, Amir Shariffuddin Abd Rauf dan Mohd Fauzan Hatim Abd Latif.

“Mahkamah berpendapat perayu telah membuktikan semua harta yang terbabit diperoleh daripada hasil haram iaitu rasuah. Mahkamah juga berpuas hati tiada pembelian suci hati dengan balasan berharga berkaitan semua harta terbabit

“Oleh itu, mahkamah membenarkan rayuan perayu terhadap semua responden dan membenarkan semua permohonan perayu untuk melucut hak semua harta terbabit,” katanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mahadi Abdul Jumaat, manakala peguam Abd Rahim Ali mewakili Abd Latif, Amir Shariffuddin Abd Rauf, Mohd Fauzan dan Nur Shaliza Mohd Salleh, yang juga menantu Abd Latif dan isteri Mohd Fauzan.

Abd Rahim kemudiannya memohon penangguhan pelucutan hak harta bagi membolehkan pihaknya memfailkan rayuan dalam masa terdekat.

Hakim memerintahkan responden mengemukakan permohonan bagi penangguhan pelucutan hak ke atas harta.

Pada 27 Mei 2019, Mahkamah Sesyen menolak permohonan SPRM untuk melucutkan hak ke atas harta Abd Latif, anak dan menantunya.

Namun pada 6 Nov lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Abd Latif membela diri terhadap 33 pertuduhan rasuah dan empat dakwaan pengubahan wang haram, empat tahun lalu.

Arahan bela diri atas pertuduhan sama itu turut membabitkan anak lelakinya Mohd Fauzan dan perunding hartanah Amir Shariffuddin.

Abu Bakar dilaporkan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, selain mengenepikan keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 21 April 2019 yang melepaskan dan membebaskan ketiga-tiga tertuduh.

BERITA BERKAIT
POPULAR