
SPRM mengemukakan permohonan kepada DOJ bagi mendapatkan maklumat kenyataan bekas eksekutif bank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner yang mendakwa membeli rumah kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd, Datuk Rohana Rozhan.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd, Datuk Rohana Rozhan yang mencetuskan kontroversi sebelum ini masih belum menyerahkan semua aset yang terlibat dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Portal Utusan Malaysia dalam laporannya mendedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang memperincikan kertas siasatan melibatkan Rohana dan kini giat mendapatkan semula wang terbabit, ia bagaimanapun masih dalam proses dan belum dipulangkan lagi.
“Kertas siasatan berkenaan dalam proses untuk diperincikan dan SPRM sedang proses mendapatkan aset-aset tersebut,” kata sumber itu.
Terdahulu, Rohana dikaitkan mempunyai dengan Tim Leissner secara prinsipnya bersetuju menyerahkan AS$10 juta yang diberikan oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc. itu.
Media sebelum ini melaporkan, AS$10 juta yang diberikan oleh Leissner digunakan membeli sebuah rumah di Montpelier Street, London.
Kesemua harta termasuk rumah dan akaun bank berkenaan sebelum ini dibekukan susulan perbicaraan kes berkenaan di Amerika Syarikat (AS).
SPRM turut mengambil keterangan Rohana, Februari lalu susulan pendedahan Leissner dalam perbicaraan kes bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng berkaitan 1MDB di AS.
Laporan itu mendedahkan, siasatan dilakukan SPRM mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.
Terdahulu, perbicaraan kes 1MDB di AS bertukar sensasi selepas Leissner memberi keterangan yang beliau mempunyai hubungan dengan Rohana.
Memetik laporan Bloomberg, ketika ditanya pendakwa, Drew Rolle mengenai hubungan itu, Leissner memetik beberapa nama termasuk Rohana dan menjelaskan hubungan itu berlanjutan sejak 2003 hingga 2013.
Leissner turut ditanya sama ada dia pernah memberikan sejumlah wang diterima daripadanya semasa bekerja dengan 1MDB dan dia mengaku, malah membelikannya rumah tersebut pada 2013.
Leissner mengaku bersalah pada 2018 kerana terlibat dalam pelanggaran undang-undang antirasuah AS dan konspirasi pengubahan wang.