Bekas CEO Astro akui terima aset AS$10 juta dari Leissner, sedia pulangkan semula

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astro Malaysia Holdings Bhd (ASTRO), Datuk Rohana Rozhan dilaporkan mengakui menerima AS$10 juta daripada bekas jurubank Goldman Sachs, Tim Leissner yang sedang disabitkan dalam penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Susulan pengakuan tersebut, portal Utusan Malaysia mendedahkan SPRM berjaya mendapat persetujuan Rohana untuk menyerahkan aset daripada Leissner yang diperoleh menggunakan dana 1MDB.

“Proses mendapatkan aset-aset berkenaan sedang giat dijalankan SPRM ketika ini,” kata sumber itu semalam lapor Utusan.

Leissner sebelum ini mendakwa telah memberikan Rohana AS$10 juta – yang digunakan untuk memperoleh hartanah AS$7 juta di Montpelier Street, London.

Leissner, yang merupakan bekas ketua operasi Goldman Sachs di Asia Tenggara, mendakwa dia mempunyai hubungan selama sedekad dengan Rohana.

Leissner juga mendedahkan dia pernah berdepan ugutan daripada bekas kekasihnya itu untuk mendedahkan peranannya dalam skandal 1MDB jika gagal memberi kerjasama.

“Jika saya tidak membelikannya rumah, dia akan memberitahu pihak berkuasa tentang penglibatan saya dalam skandal 1MDB. Dia mengancam untuk mendedahkan saya. Pada masa itu, 2013, saya sangat takut akan perkara itu,” katanya memberi keterangan.

SPRM sebelum ini sudah membekukan aset milik Rohana, sama ada di dalam mahupun di luar negara,

Aset yang dibekukan di luar negara itu bernilai kira-kira AS$10 juta (RM41.8 juta), dipercayai rumah yang dibeli Leissner kepada Rohana di London.

Dalam pada itu, Rohana juga sedang disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA).

BERITA BERKAIT
POPULAR