Bekas CEO 1MDB syak Najib terlibat aktiviti haram

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau mengesyaki terdapat beberapa aktiviti yang menyalahi undang-undang dalam syarikat antara Datuk Seri Najib Razak dan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low berhubung penerbitan bon AS$3 bilion.

Agensi berita Bernama melaporkan penerbitan bon AS$3 bilion itu melibatkan 1MDB Global Investments Limited (1MDB GIL) kepada Abu Dhabi-Malaysia Investment Company (ADMIC).

Mohd Hazem Abd Rahman, 47, berkata beliau tidak pernah meminta Najib, yang ketika itu perdana menteri, supaya menjelaskan perkara berkenaan.

Bagaimanapun, beliau telah menyatakan kebimbangannya kepada bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan bekas Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias, memandangkan mereka boleh berhubung dengan Najib.

Najib, ketika itu adalah menteri kewangan yang juga pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Saksi pendakwaan ke-10 itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed dalam perbicaraan kes Najib melibatkan penyalahgunaan dana 1MDB.

Wan Aizuddin: Anda mengatakan bahawa anda mengesyaki proses mendapatkan dana itu… ada yang tidak kena. Ada beberapa agenda jahat oleh Jho Low … dan anda juga mengatakan Jho Low memberitahu anda bahawa semua penerbitan bon ini adalah arahan perdana menteri?

Mohd Hazem: Ya.

Wan Aizuddin: Bukankah itu bererti perdana menteri juga terlibat sebagaimana yang diberitahu oleh Jho Low dalam agenda jahat ini?

Mohd Hazem: Tidakkan perdana menteri akan terlibat? Sudah tentunya ya.

Wan Aizuddin: Jadi, itu adalah satu tuduhan yang sangat berat untuk mengatakan bahawa perdana menteri terlibat dalam sesuatu yang menyalahi undang-undang dengan syarikat itu?

Mohd Hazem: Ya, pada tahap tertentu, ya.

Saksi itu bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan peguam berkenaan bahawa alasan beliau tidak mendapatkan penjelasan daripada Najib kerana bukan hanya beliau mempunyai syak wasangka terhadap agenda Jho Low tetapi beliau juga mengikuti rancangan Jho Low.

Mohd Hazem berkata beliau tidak pernah menyatakan rasa sangsi beliau itu kepada lembaga pengarah 1MDB dan tidak pernah membuat sebarang laporan kepada pihak berkuasa berhubung arahan yang diterima daripada Jho Low, ahli perniagaan yang kini dalam buruan.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Rabu.

BERITA BERKAIT
POPULAR